Program Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-52 Peringkat Kementerian Dalam Negeri
Editor iKDN | 28 Ogos 09 4:44pm

Kenyataan Akhbar

YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri

Program Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-52 Peringkat Kementerian Dalam Negeri

Putrajaya, 27 Ogos 2009


Program Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-52 Peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini diadakan khusus bagi menyemarakkan semangat dan rasa cinta kepada tanah air di kalangan seluruh warga KDN.

Program sambutan ini turut dimeriahkan dengan perbarisan agensi-agensi di bawah KDN seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Pendaftar Pertubuhan, Ikatan Relawan Malaysia (RELA), Percetakan Nasional (M) Berhad.

Upacara perbarisan ini akan diketuai oleh pembawa Bendera Malaysia dan bendera jabatan-jabatan dan diikuti perbarisan agensi-agensi serta lintas hormat kenderaan jabatan-jabatan. Untuk makluman, selain mengadakan program sambutan dan perbarisan di peringkat KDN seperti hari ini, pelbagai program lain juga diatur di peringkat agensi-agensi di bawah KDN bagi menyemarakkan kesedaran di kalangan kakitangan di agensi masing-masing.

Sempena sambutan bulan kemerdekaan Negara pada tahun ini, KDN berazam dan bertekad untuk memperkemas dan memperkukuhkan usaha bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian negara terus terpelihara. KDN juga akan terus memberi komitmen padu bagi menghapuskan anasir-anasir yang boleh mengganggu gugat soal keselamatan dan kesejahteraan Negara. Pihak KDN juga melalui agensi-agensi di bawahnya akan berusaha sehabis baik bagi memastikan rakyat berbilang kaum di Negara ini dapat menjalani kehidupan seharian dengan selamat dan tanpa rasa bimbang.

Azam dan tekad KDN ini termasuklah bagi usaha mengurangkan indeks jenayah sehingga 20 peratus pada hujung tahun depan yang telah ditetapkan sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama negara (NKRA) oleh YAB. Perdana Menteri, dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Dalam konteks sambutan bulan kemerdekaan Negara ini, bagi saya tiada gunanya kita mencapai kemerdekaan andai Negara kacau-bilau dan huru-hara.

Justeru, sempena semangat 31 Ogos ini, pihak KDN akan terus komited dalam usaha untuk mengurangkan jenayah seperti yang disasarkan dengan penekanan diberi terhadap jenayah jalanan seperti ragut dan rompakan tanpa senjata. Pihak KDN akan meyakinkan masyarakat terhadap kesungguhan KDN menjayakan usaha ini dengan meningkatkan pencapaian agensi-agensi penguatkuasaan menerusi tindakan untuk menambah keanggotaan polis di jalanan, memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) dan meningkatkan pencahayaan di kawasan-kawasan yang berisiko.

Pihak KDN juga sudah mengatur pendekatan untuk melaksanakan usaha ini dengan menarik lebih banyak penyertaan rakyat, terutama di kalangan orang muda. Malah, kita juga telah menetapkan matlamat untuk menurunkan kadar jenayah di hotspot atau kawasan panas yang telah dikenal pasti kerap berlaku jenayah terutama di empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Dalam soal ini juga, perhatian khusus telah mula diberi tehadap kawasan-kawasan ini dengan penugasan seramai 850 orang anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) khususnya di Kuala Lumpur dan Selangor sejak awal bulan ini.

Usaha serampang dua mata yang melibatkan perkembangan peranan dan tugas anggota-anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebagai polis sukarela juga telah mula dilaksanakan. Seramai 250 orang telah berjaya melepasi tapisan dan dilatih dalam kumpulan pertama. Daripada jumlah berkenaan seramai 133 orang sukarelawan ini telah tamat latihan peringkat pertama di Alpha Bangi dan 43 orang telah mula bertugas sejak 17 Ogos lalu. Sehingga kini jumlah keseluruhan tambahan anggota polis bantuan, sukarela dan PGA di seluruh negara ialah seramai 2,300 orang.

Proses penambahan anggota polis sukarela ini akan diteruskan dan saya mensasarkan sehingga hujung tahun ini seramai 500 orang RELA dan JPAM akan dapat bersama-sama membuat rondaan dan pemantauan bersama pasukan polis di hotspots yang telah dikenal pasti. Bagi mengukuhkan usaha ini sebanyak 24 balai polis bergerak juga akan ditempatkan di kawasan hotspots terpilih setiap hari.

Kumpulan kedua sukarelawan RELA dan JPAM ini pula dijangka mula bertugas pada hujung tahun. Untuk makluman kumpulan ini melibatkan seramai 277 orang untuk Kuala Lumpur dan Selangor dan telah memulakan latihan pada 15 Ogos. Kumpulan ketiga yang masing-masing melibatkan 96 anggota akan ditugaskan di Pulau Pinang dan Johor.

Segala yang dilakukan oleh KDN ini adalah bagi memastikan rakyat dapat hidup dalam aman, selamat dan sejahtera tanpa rasa bimbang dengan perlakuan jenayah. Pihak KDN akan berusaha sehabis baik bagi memastikan NKRA ini tercapai dengan jayanya sejajar hasrat gagasan 1 Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

=tamat=

 

 

Hebahan Untuk Media
Kenyataan Media Menteri

Selamat Datang Kepada Pengunjung Kami,

iKDN ialah sebuah portal berita. Ia akan dilengkapi dengan elemen audio dan visual (webtv). iKDN berfungsi sebagai pelengkap sumber maklumat untuk rakyat Malaysia khususnya yang berkaitan dengan Kementerian Dalam Negeri.

Di sini para pengunjung boleh mendapat info-info terkini mengenai KDN.

Media dibenarkan untuk memetik sebarang maklumat di dalam portal ini sebagai bahan siaran di media masing-masing dengan syarat dimaklumkan sumber berita itu dipetik dari www.ikdn.org atau www.ikdn.gov.my

Terima kasih

Editorial iKDN
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri

Tahukah Anda
Di bawah Akta Penagih Dadah 6(1)b ibu bapa boleh secara sukarela menghantar anak-anak mereka yang berhadapan dengan masalah najis dadah ke pusat pemulihan (PUSPEN). Dalam tempoh 20 bulan terakhir ini, 444 kes sukarela dilaporkan. Jumlah itu mewakili 6.33% dari jumlah penghuni di PUSPEN seluruh Negara.
Jumlah Pengunjung:

© 2009, Portal Berita KDN, Kementerian Dalam Negeri, Hakcipta Terpelihara

Kami mengalu-alukan input anda untuk dimuatkan didalam portal berita ini.
Sila Hubungi Kami