Proses Tetap Proses
Editor iKDN | 29 Ogos 09 11:23am
Kelulusan kepada permohonan taraf kewarganegaraan dilakukan secara telus, terbuka dan profesional oleh Kementerian Dalam Negeri. Ketua Setiausahanya Dato' Sri Mahmood B. Adam berkata demikian ketika mengiringi liputan sekumpulan wartawan dan jurugambar yang meninjau proses kelulusan itu di Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan pada 28 Ogos yang lalu.

"Anda semua dikira bertuah kerana inilah pertama kali kita membenarkan kumpulan wartawan untuk meninjau dari dekat proses ini dibuat. KDN hari ini cuba untuk memberikan fakta yang sebenar sebaik mungkin...agar rakyat berpuas hati dan yakin bahwa mereka didahulukan." Katanya.
Sejumlah 20 wartawan dari pelbagai media utama negara dibenarkan melihat dan merakam gambar ruang kerja memproses taraf kewarganegaraan. Kehadiran kumpulan wartawan ini tidak dihiraukan oleh petugas yang tekun memasukkan data pemohon, membuat semakan info di atas data yang dilakukan, menyusun surat-surat, melipat surat dan menyemak sampul-sampul yang akan dihantar kepada pemohon.

"Inilah suasana sebenar. Ia bukan dibuat-buat atau diada-adakan hanya kerana untuk tujuan bergambar. Mereka bekerja sampai ke malam yang dibuat secara syif. Ini kerana matlamat kami ialah 32,927 borang permohonan dapat diselesaikan penghujung tahun ini. Kami sekarang sedang menumpu kepada permohonan yang dibuat di antara tahun 1997 - 2006," katanya lagi.
Para media berpeluang melihat keadaan ruang kerja yang sarat dengan kotak-kotak yang mengandungi dokumen sulit pemohon. Kotak-kotak itu dilabel dengan klasifikasi tertentu berdasarkan peringkat kerja. Dato' Sri Mahmood yang mengiringi media dari mula sampai ke akhir lawatan ini turut memberikan penerangan dan menjawab soalan yang diajukan oleh para wartawan.

"Permohonan yang dibuat selepas tahun 2006 tidak terlibat gerak kerja ini. Kami melakukannya secara berperingkat dan penuh ketelitian kerana perkara yang membabitkan taraf kewarganegaraan ini tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa apatah lagi kelam kabut. Permohonan tetap diproseskan." katanya.
Turut sama hadir bersama beliau ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, YM Dato Raja Azahar Raja Abdul Manap dan Setiausaha Bahagian Imigresen Dato' Paduka Alias Ahmad. Setiausaha Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan, Datin Jariah Mohd Said juga tidak ketinggalah memberi penerangan kepada kumpulan wartawan itu.
--team berita ikdn
|