Kisah Si Penemuduga
Editor iKDN | 7 September 09 3:31pm

Temuduga ini bukan temuduga biasa. Ia perlu dilakukan penuh berhemah dan bertanggungjawab. Niat untuk melaksanakannya secara sambil lewa wajar tidak ada dalam setiap jiwa penemuduga yang diberi tanggungjawab melaksanakan tugas penting ini.

"Bukan mudah tanggungjawab ini kerana kita perlu pandai bermain dengan emosi. Bermacam-macam jenis pemohon saya jumpa. Ada yang sedikit bermegah dan hidung tinggi kerana mempunyai pendidikan tinggi." Luah Cik Lailatul Izzaty Bt Abdul Rauf. Beliau yang berjawatan sebagai Pegawai Tadbir turut berdepan dengan pemohon yang secara terbuka menyatakan mereka memohon untuk menjadi warganegara Malaysia kerana kepentingan tertentu. "Terdapat pelbagai karenah tetapi saya tidak pernah pula berhadapan dengan pemohon yang agresif," katanya.

"Tugas menemuduga sebegini selalu berlaku. Saya telah bertugas begini sejak Julai 2009 hingga kini. Bermakna sejak 2 bulan yang lalu saya berpejabat di Dewan Gemilang ini. Selalunya mereka menitiskan airmata untuk minta simpati dari kita. Kami kena pandai jangan pula kami yang terikut-ikut," kata seorang penemuduga yang lain, Jamilah Bt. Baharudin, 24. Beliau adalah Penolong Setiausaha di Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan juga memaklumkan kesukaran yang dihadapi oleh beliau ialah apabila pemohon langsung tidak fasih berbahasa Malaysia sedangkan itulah syarat utama.

Pemohon-pemohon taraf warganegara Malaysia akan menjawb soalan yang dibahagikan kepada dua kategori. Iaitu soalan lazim dan soalan wajib. Soalan lazim ialah berkenaan dengan diri dan latarbelakang pemohon. Sementara soalan wajib pula ialah mengapa mereka memohon kewarganegaraan Malaysia dan sekiranya berjaya apakah azam mereka untuk negara ini. Kedua-dua kategori itu hanya perlu dijawab dalam bahasa Malaysia yang mudah.

Rosalinda Bt. Maal, 26, berjawatan sebagai Penolong Setiausaha juga memaklumkan setakat ini beliau tidak pernah berhadapan dengan pemohon yang agresif dan kasar. " Tugas ini bermula semenjak Julai yang lalu, soalan lazim saya tanya nama, asal, tempoh bermaustautin, bila dia memohon dan soalan tambahan apakah faedah kepada pemohon dan juga negara jika diterima permohonan mereka," katanya.

"Pengalaman sedih saya pula ialah ada pemohon yang separuh umur yang menangis di hadapan saya. Saya tidak boleh berbuat apa-apa kalau mereka sendiri mengakui mereka tidak faham soalan saya dan tidak dapat bercakap dalam bahasa Malaysia yang mudah sedangkan mereka sendiri mengakui itulah syaratnya," kata pula Cik Norhafiza Bt. Zainal Abidin, 25, Pegawai Tadbir.

Saudari Atiyah yang selesa dipanggil Atiyah berkata, "Saya tak dapat lupakan ketika seorang pemohon dari Indonesia merayu-rayu dan menangis supaya pemohonan mereka diterima... ketika itu saya terpaksa cekal hati dan menilai dengan lebih telus dan adil supaya emosi saya tidak terganggu ketika membuat catatan."

Ditanya mengenai pemohon yang agresif, Atiyah berkata, "Sungguhpun ada yang panas baran dan memarahi saya kerana ingin cepat... tetapi tidak ada yang 'angkat tangan' mahupun berkasar secara fizikal selama sebulan proses temuduga berlangsung di sini. Atiyah menambah lagi, "Selalunya kalau ada pemohon yang macam itu, saya senyum dan diam sahaja bagi mengelakkan pertengkaran yang lebih besar".

Demikian antara kisah yang sempat dijenguk oleh team berita ikdn untuk tatapan pengunjung portal ini. Nyata tugas menemuduga ini sama sekali jauh berbeza dengan tugas temubual untuk permohonan jawatan kerja.

--team berita ikdn

 

Hebahan Untuk Media
Kenyataan Media Menteri

Selamat Datang Kepada Pengunjung Kami,

iKDN ialah sebuah portal berita. Ia akan dilengkapi dengan elemen audio dan visual (webtv). iKDN berfungsi sebagai pelengkap sumber maklumat untuk rakyat Malaysia khususnya yang berkaitan dengan Kementerian Dalam Negeri.

Di sini para pengunjung boleh mendapat info-info terkini mengenai KDN.

Media dibenarkan untuk memetik sebarang maklumat di dalam portal ini sebagai bahan siaran di media masing-masing dengan syarat dimaklumkan sumber berita itu dipetik dari www.ikdn.org atau www.ikdn.gov.my

Terima kasih

Editorial iKDN
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri

Tahukah Anda
Di bawah Akta Penagih Dadah 6(1)b ibu bapa boleh secara sukarela menghantar anak-anak mereka yang berhadapan dengan masalah najis dadah ke pusat pemulihan (PUSPEN). Dalam tempoh 20 bulan terakhir ini, 444 kes sukarela dilaporkan. Jumlah itu mewakili 6.33% dari jumlah penghuni di PUSPEN seluruh Negara.
Jumlah Pengunjung:

© 2009, Portal Berita KDN, Kementerian Dalam Negeri, Hakcipta Terpelihara

Kami mengalu-alukan input anda untuk dimuatkan didalam portal berita ini.
Sila Hubungi Kami