Sejenak bersama Jins Shamsuddin
Nur Farahiyah Mhd Taib | 16 September 09 6:04am

Sabtu lalu (12 September 2009) menyaksikan himpunan penggiat filem dalam satu sesi dialog antara Ketua Setiausaha, Dato’ Seri Mahmood Adam dan karyawan filem. Ramai muka idola yang hadir, antaranya ialah Ahmad Idham, David Teoh, Datin Paduka Shuhaimi Baba, Farid Kamil, Datuk Yusof Haslam dan Dato' Ahmad Tarmimi Sirega. Namun yang paling menarik pandangan saya ialah kehadiran Senator Tan Sri Jins Samsuddin.

Dalam usia emas mencecah 74 tahun, beliau masih aktif dalam industri filem Malaysia. Kelibat beliau sudah kelihatan, sejam sebelum majlis dimulakan. Nyata beliau seorang yang menghayati masa.

Saya tidak pernah mengenali beliau secara dekat, hanya melihat di kaca televisyen ataupun di majlis tertentu sahaja. Saya amat tertarik melihat beliau mengamati potret – potret Menteri KDN yang diletakkan di ruang legar Dewan Gemilang, KDN. Secara perlahan saya mendekati beliau.

Sangat mudah untuk memulakan bicara bersama Tan Sri Jins Shamsuddin. Saya rasa dialukan. Saya mula bertanya mengenai industri filem. Beliau nyata sangat prihatin dengan penggunaan bahasa dalam filem.

Katanya, “Bahasa kita sangat kaya, satu perkataan Inggeris boleh diterjemahkan kepada pelbagai makna dalam Bahasa Melayu. Misalnya, ‘carry’ boleh diterjemah kepada jinjing, bimbit, bawa, angkat dan sebagainya. Demikianlah kaya bahasa kita. Jadi perlu peka dengan maksud kata yang ada”.

Sebagai pelakon, pengarah, penggiat seni dan juga senator di Dewan Negara, beliau nyata amat prihatin dengan halatuju industri Malaysia. Beliau turut bersetuju dengan pengaruh filem yang kuat kepada penonton. “Pendapat saya, filem yang dibuat biarlah menunjukkan nilai murni, menjaga bahasa. Sebabnya, masyarakat mudah terpengaruh dengan filem dan adegan yang dipaparkan. Lebih – lebih lagi remaja,” tambah beliau.


Berlakon sebagai Sjn. Jamil Md Shah didalam filem Bukit Kepong pada tahun 1981

“Lagi pula, saya perasan, pengkelasan filem memang dibuat, tapi, tiada penguatkuasaan. Tidak pernah saya lihat penguatkuasa di panggung wayang untuk periksa pengenalan diri mereka yang di bawah 18 tahun semasa tonton filem untuk 18 tahun ke atas,” katanya lagi. Mukanya kelihatan sedikit keruh.
Saya dapat mentafsirkan pelbagai keluhan tersirat di wajah beliau itu. Pastinya tentang hala tuju industri filem Malaysia. Setelah hampir setengah abad mencurah bakti sebagai penggiat seni, pastinya banyak perkara yang tersimpan di hati kecil beliau.

Secara jujurnya, saya amat berharap agar dapat mendengar kenangan manis beliau selama tempoh bergiat dalam industri seni. Namun, belum sempat soalan itu diajukan, masing – masing bergegas kerana majlis dialog telah bermula.

Leka mendekati lagenda filem tanah air ini, hingga tidak tersedar waktu yang berlalu pergi.

--team berita ikdn.

 

Hebahan Untuk Media
Kenyataan Media Menteri

Selamat Datang Kepada Pengunjung Kami,

iKDN ialah sebuah portal berita. Ia akan dilengkapi dengan elemen audio dan visual (webtv). iKDN berfungsi sebagai pelengkap sumber maklumat untuk rakyat Malaysia khususnya yang berkaitan dengan Kementerian Dalam Negeri.

Di sini para pengunjung boleh mendapat info-info terkini mengenai KDN.

Media dibenarkan untuk memetik sebarang maklumat di dalam portal ini sebagai bahan siaran di media masing-masing dengan syarat dimaklumkan sumber berita itu dipetik dari www.ikdn.org atau www.ikdn.gov.my

Terima kasih

Editorial iKDN
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri

Tahukah Anda
Di bawah Akta Penagih Dadah 6(1)b ibu bapa boleh secara sukarela menghantar anak-anak mereka yang berhadapan dengan masalah najis dadah ke pusat pemulihan (PUSPEN). Dalam tempoh 20 bulan terakhir ini, 444 kes sukarela dilaporkan. Jumlah itu mewakili 6.33% dari jumlah penghuni di PUSPEN seluruh Negara.
Jumlah Pengunjung:

© 2009, Portal Berita KDN, Kementerian Dalam Negeri, Hakcipta Terpelihara

Kami mengalu-alukan input anda untuk dimuatkan didalam portal berita ini.
Sila Hubungi Kami