Sukarelawan Simpanan Polis (SSP)
Editor iKDN | 18 September 09 5:58am

SSP ialah Sukarelawan Simpanan Polis yang dilantik dari anggota RELA dan JPAM. Mereka diberi latihan dan kursus asas yang berasaskan kaedah, model serta perjalanan kursus asas latihan kepolisan. Penyerapan mereka sebagai SSP Ini adalah sejajar komitmen Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menambah kehadiran polis (polis presence) melalui penglibatan masyarakat. Pemilihan anggota JPAM dan RELA untuk mengikuti latihan ini sekali gus menjadi SSP sebenarnya menuntut mereka melalui proses pemilihan yang ketat demi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja akan dipilih.

Dalam proses ini, anggota-anggota JPAM dan RELA perlu melalui tapisan keselamatan pihak PDRM melalui Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan JSJ (Narkotik) terlebih dahulu sebelum layak dipertimbangkan untuk mengikuti latihan. Selain tapisan keselamatan, calon-calon juga dikehendaki memenuhi kriteria-kriteria tertentu yang telah ditetapkan. Antara kriteria tersebut ialah calon sekurang-kurangnya 157cm bagi lelaki dan 152cm bagi wanita, lulus pemeriksaan perubatan, tidak mempunyai kecacatan fizikal/badan yang ketara serta mempunyai ketrampilan diri yang sesuai.

Usaha menambah kehadiran anggota sukarela seperti JPAM dan RELA ini adalah salah satu strategi bagi merealisasikan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berhubung penurunan kadar jenayah jalanan sebanyak 20 peratus menjelang penghujung tahun depan sebagaimana digariskan oleh YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak baru-baru ini.

Pendekatan mewujudkan pasukan Sukarelawan Simpanan Polis (SSP) dari JPAM dan RELA ini adalah bagi memberi platform kepada rakyat dan masyarakat untuk terlibat secara langsung dalam usaha membanteras jenayah. Selain itu, kewujudan pasukan ini dijangka dapat membantu pihak polis dalam kerja-kerja pencegahan seperti rondaan dan sebagainya.

Buat permulaan, pasukan ini akan dikerah bertugas di 50 hotspots yang telah dikenalpasti yang merangkumi empat negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Untuk pemgambilan Fasa 1 iaitu pada Julai- Ogos yang lalu, seramai 249 orang telah berjaya melepasi tapisan dan dipanggil menjalani temuduga. Bagaimanapun, daripada jumlah itu hanya seramai 133 orang sukarelawan terpilih untuk menjalani latihan di ALPHA, Bangi, yang melibatkan 66 orang anggota RELA dan 67 anggota JPAM. Mereka telahpun tamat latihan dan sebahagiannya telah memulakan tugas sebagai SSP.

Bagi pengambilan Fasa 2, seramai 1,122 orang yang terdiri daripada 948 anggota RELA dan 174 anggota JPAM telah dikenalpasti dan telah menjalani proses temuduga. Bagaimanapun, 1,122 calon ini sedang menjalani tapisan keselamatan. Pemeriksaan kesihatan akan dilakukan sebaik sahaja mereka terpilih dan melaporkan diri untuk menjalani latihan.

Sepanjang mengikuti kursus ini, para pelatih dari JPAM dan RELA ini akan diberi latihan mengenai tugas-tugas kepolisan yang merangkumi tanggungjawab mereka sebagai SSP. Latihan ini dikelola dan dikawal selia sepenuhnya oleh jurulatih PDRM. Sehingga kini 5 pusat latihan disediakan untuk latihan SSP ini iaitu Akademi Latihan Pertahanan Awam (ALPHA), Bangi; Akademi Latihan Ihsan (AKLI), Kota Tinggi; Jabatan Pertahanan Awam, Butterworth; Unit No 3 Polis Simpanan Persekutuan (PSP), Georgetown; dan Malaysia Product Corporation (MPC), Bandar Baru Uda, Johor Bahru. Latihan di pusat-pusat ini dikendalikan sepenuhnya oleh jurulatih PDRM dan Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur untuk Zon Tengah, PULAPOL Muar untuk Zon Selatan dan PULAPOL Air Hitam untuk Zon Utara.

Pihak PDRM akan mengadakan perbincangan dengan majikan SSP terlibat untuk mendapat kerjasama, sokongan dan keprihatinan bagi membolehkan SSP ini bersama-sama menjayakan usaha murni ini. Pihak PDRM juga akan melihat kepada penggubalan satu persetujuan bersama dengan ahli SSP ini dari segi jumlah atau bilangan jam (man hours) yang perlu mereka penuhi setiap bulan bagi membolehkan mereka kekal dan berperanan sebagai ahli SSP. Ini adalah untuk memastikan komitmen serta profesionalisme SSP dikekalkan.

--team berita ikdn

 

Hebahan Untuk Media
Kenyataan Media Menteri

Selamat Datang Kepada Pengunjung Kami,

iKDN ialah sebuah portal berita. Ia akan dilengkapi dengan elemen audio dan visual (webtv). iKDN berfungsi sebagai pelengkap sumber maklumat untuk rakyat Malaysia khususnya yang berkaitan dengan Kementerian Dalam Negeri.

Di sini para pengunjung boleh mendapat info-info terkini mengenai KDN.

Media dibenarkan untuk memetik sebarang maklumat di dalam portal ini sebagai bahan siaran di media masing-masing dengan syarat dimaklumkan sumber berita itu dipetik dari www.ikdn.org atau www.ikdn.gov.my

Terima kasih

Editorial iKDN
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri

Tahukah Anda
Di bawah Akta Penagih Dadah 6(1)b ibu bapa boleh secara sukarela menghantar anak-anak mereka yang berhadapan dengan masalah najis dadah ke pusat pemulihan (PUSPEN). Dalam tempoh 20 bulan terakhir ini, 444 kes sukarela dilaporkan. Jumlah itu mewakili 6.33% dari jumlah penghuni di PUSPEN seluruh Negara.
Jumlah Pengunjung:

© 2009, Portal Berita KDN, Kementerian Dalam Negeri, Hakcipta Terpelihara

Kami mengalu-alukan input anda untuk dimuatkan didalam portal berita ini.
Sila Hubungi Kami