Senamrobik Caca
Editor iKDN | 5 Oktober 09 12:14pm
Pengurusan Tertinggi KDN berada di Langkawi selama 2 hari bermula pada 2 Oktober - 4 Oktober 2009 kerana menghadiri tiga mesyuarat berkaitan projek-projek infrastruktur tidak melepaskan peluang untuk melawat Lapang Sasar Menembak Antarabangsa Langkawi atau ringkasnya LISRAM.

LISRAM yang dibina menjelang penganjuran Sukan Komanwel 1998 adalah antara lapang sasar terbaik yang ada di Malaysia. Para rombongan tidak melepaskan peluang untuk bersenaman di padangnya. LISRAM yang berada di puncak antara bukit-bukit dan dikelilingi oleh pokok-pokok hutan yang menghijau menjadikan suasana di sini sesuai sekali untuk aktiviti beriadah khususnya secara berkumpulan.

Aktiviti senamrobik yang dikendalikan oleh instruktor terlatih turut disertai oleh KSU KDN, Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan dan Pengurusan) bersama pegawai kanan yang lain. Gerakan para peserta yang lintang pukang tidak menjadi masalah. Instruktor kata pusing kanan 4 langkah, para peserta terkulat-kulat dengan langkah silang menyilang. Badan berpeluh juga dalam caca marba itu. Ringan seketika minda yang sebelum ini asyik mengadap timbunan fail di pejabat.

'Senamrobik Caca' ini menjadi acara menarik kerana semua 'sporting'. KSU sendiri pun tidak kisah. Siap lompat kiri lompat kanan lagi. Bahkan beliau yang paling awal tiba di tempat senamrobik, menanti kami yang datang dengan bas.
--team berita ikdn |