Temubual eksklusif bersama Dato' N Siva Subramaniam
Editor iKDN | 19 November 09 5:39am

Temubual eksklusif bersama Dato' N Siva Subramaniam (DS)

Pesuruhjaya SUHAKAM

JANGAN SALAH FAHAM DENGAN SUHAKAM KERANA SUHAKAM CUMA MELAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB YANG DIAMANAHKAN, MAS SELAMAT KASTARI GEMBIRA BERADA DIBAWAH TAHANAN PIHAK BERKUASA MALAYSIA DAN MALAYSIA ADALAH NEGARA YANG MENGHORMATI HAK ASASI MANUSIA...ITU ANTARA POINT PENTING PERBUALAN YANG DAPAT DIKUTIP HASIL DARI PERTEMUAN SELAMA DUA JAM DENGAN PESURUHAJAYA SUHAKAN DATO' N. SIVAKUMAR DI PEJABAT BELIAU BARU-BARU INI.

S1: Dari 'dunia cikgu' kepada 'pengawas' hak asasi manusia, apa yang berbeza dalam diri Dato'? Mana yang lebih mencabar?

DS: Tidak ada jauh beza. Dulu saya menangani isu-isu perguruan. Sekarang tugas saya semakin luas. Tapi saya dapat rasakan ada yang tidak senang dengan SUHAKAM. Kita bukan nak jadi popular tapi kita hendak buat kerja kita sahaja. Kalau kita duduk diam, kerajaan pun dapat nama busuk, mereka akan kata kerajaan lantik SUHAKAM, SUHAKAM duduk senyap saja. Jadi kita (SUHAKAM) mesti diberi kebebasan untuk kemukakan pandangan. Tengok sahaja dalam lawatan penjara. Semua penjara kita lawat. Lepas tu laporan saya positif. Semua laporan memuji langkah-langkah yang diambil kerajaan. Dari kritikan yang kita buat terhadap penjara, timbullah perubahan-perubahan yang baru. Saya rasa tugas ini satu yang murni yang kita boleh bantu rakyat jelata.

S2: Maknanya...Dato' menyedari bahawa cadangan-cadangan SUHAKAM tidak semua disenangi?

DS: Ya...memang kita sedar. SUHAKAM...perlu dilihat sebagai tidak berpihak apatah lagi sebagai pro kerajaan dalam kita menjalankan tugas. Nanti kita akan dituduh sebagai bias kepada kerajaan. Susah SUHAKAM juga nanti. Susah untukorang menerima apa yang kita cakap. Kalau kita puji-puji kita akan dianggap macam sokonglah. Kerja SUHAKAM dengar dan untuk semua. Tak ada Kerajaan atau pembangkang. Sebagai pesuruhjaya, saya pergi berjumpa semua orang. Kita buat roadshow misalnya , kita bawa polis. Terangkan pada mereka proses di situ. Kami dapati ia suatu cabaran yang menarik.


S3: Antara dua dunia tadi Dato' mana yang lebih mencabar?

DS: Ini lebih mencabar. Memang ada isu sensitif. Ada isu yang kita kena gunakan budi bicara. Kes-kes kematian, kita kena berurusan dengan polis. Kadangkala dalam satu bulan kita dapat 100 aduan, kita tahu bukan semua aduan itu betul. Kadang-kadang aduan tipu. Macam aduan terhadap polis ada sesetengah orang, mereka palsukan laporan polis. Baru-baru ini mengenai ISA, ada yang datang jumpa saya, minta saya memaklumkan pada kerajaan untuk memansuhkan ISA, atas alasan saya dekat dengan kerajaan.

S4: Antara dua dunia itu yang mana satu Dato' rasa lebih menarik? Dalam erti kata lain Dato dapat menyumbang lebih?

DS: Sebagai Pesuruhjaya SUHAKAM boleh menyumbang lebih kerana ia berurusan dengan semua lapisan masyarakat. Tak kira bangsa. Orang Melayu ada problem, Cina ada problem, India…orang kadazan ada problem. Saya juga ada bagi syarahan kepada polis. Mesti terangkan senario rakyat, apa keadaannya. Kita lihat ini sebagai satu cabaran yang besar. Kalau nak buat kerja, buat kerja betul-betul. Jangan nak main-main. Kalau nak main-main berhenti dan duduk diam-diam kat rumah. Hujung bulan dapat gaji tapi itu duit haram lah.

S5: Secara jujurnya, bagaimana dato' melihat tahap hak asasi manusia di Malaysia dari segi penghormatan dan pengamalam jika dibandingkan dengan negara lain?

DS: Saya melihat Malaysia adalah negara yang bagus dari segi hormat hak asasi manusia. Semua boleh kritik kerajaan. Tiada yang ditangkap disebabkan itu. Baru-baru ini saya mengendalikan satu kes seorang muslim ditangkap di China kerana membawa dadah. Dalam masa 10 hari proses penghakiman telah selesai dan dia dijatuhkan hukuman gantung. Tetapi di Malaysia tidak berlaku perkara sebegitu. Kita lebih bertamadun dan bebas untuk mengkritik kerajaan. Berlainan pula di Singapura, Saya ada menemubual Mas Selamat Katsari mengenai Malaysia, dan dia mengatakan Malaysia sangat bagus kerana saya boleh datang berjumpa dengannya, pihak media juga boleh datang untuk menemubual tetapi Singapura tidak boleh buat begitu. Kita memang lebih bagus, saya lihat cuma menteri kurang yakin apabila bercakap mengenai kebebasan. Cakap terus teranglah.

S6: Saya percaya ISA telah memberikan satu gambaran buruk terhadap negara kita jadi apakah peranan SUHAKAM dalam mengembalikan imej Malaysia?

DS: Pesuruhjaya SUHAKAM mesti berani. Mesti menghadapi cabaran NGO. Perlu duduk bersama dan terangkan kepada mereka tentang perubahan yang berlaku. Jadi sepanjang tempoh saya bekerja di sini, saya telah berjumpa dengan banyak NGO dan cuba memaklumkan kebaikan yang sedang dilakukan oleh kerajaan. Kita jangan cakap NGO ini sebagai pembangkang atau anti kerajaan, jika kita beritahu mereka tentang kerajaan, mereka akan lebih percaya kepada kita. Seperti PM sekarang, kalau dia nak tengok orang India, dia akan berjumpa dengan orang yang sama sahaja seperti Nala Karuppan. Tidak boleh begini, mesti sahut cabaran ini untuk pergi kepada orang-orang yang anti kerajaan. Panggil mereka dan tanya apa masalah mereka. Kalau kita duduk diam atau bercakap dengan orang yang sama, Tak ada gunanya. Oleh itu saya terima ini sebagai cabaran, kita lihat perbincangan membuatkan kita dekat dengan mereka.

S7: Ada persepsi yang mengatakan SUHAKAM ini sebagai anti-kerajaan, pengawas kerajaan...apa pandangan Dato'?

DS: Pandangan itu salah, mereka tak faham. Kita ini tak boleh jadi seperti jabatan kerajaan. Bila timbul sesuatu isu, kita kena bercakap benar. Jika kita hanya berdiam diri, rakyat akan marah. Parlimen tubuhkan SUHAKAM supaya dapat membawa isu-isu kepada kerajaan. Keyakinan rakyat terhadap SUHAKAM sangat tinggi kerana ramai yang telah menggunakan khidmat SUHAKAM. Hari ini kalau dilihat pendekatan kita dengan polis begitu baik. Bila kita bicara tentang polis kepada kerajaan baru kerajaan sedar ada juga kelemahan di situ. Jadi kita harus melihat ini sebagai satu kekuatan dan bukan satu kelemahan. PM boleh memberitahu sesiapa pun bahawa SUHAKAM ini bebas. Tidak mengikut telunjuk kerajaan atau telunjuk siapa-siapa pun.

S8: Ada pula yang mengatakan SUHAKAM ini adalah boneka kerajaan. Komen Dato'.

DS: Itu tidak benar. Macam contoh saya nak pergi ke kem Kemunting ISA. Hari Ahad pun mereka benarkan.Kita duduk bersama mereka berbincang. Tiada warden, tiada pengarah yang duduk sekali. Persepsi prasangak ini mesti dibetulkan. Oleh itu SUHAKAM kena lebih pro aktif.

S9: Kenapa SUHAKAM lebih mensasarkan kepada kerajaan? Kenapa SUHAKAM tidak pergi dan tengok kualiti pembangkang pula?

DS: Seperti yang saya katakan SUHAKAM untuk semua. Baru-baru ini SUHAKAM dapat memorandum dari parti pembangkang dari Ipoh. Dia kata bila mereka lancarkan mogok lapar, mereka kata polis bertindak ganas. Jadi saya mengambil keputusan untuk turun padang. Saya mahu tengok trick polis. Akan tetapi pembangkang hanya menggunakan sebahagian akhir sahaja statement polis. Bahagian pertama di mana polis berkata, mereka tak ambil endah. Jadi SUHAKAM tidak akan campur tangan. Kerajaan tidak tahu. Saya berani cakap pembangkang tipu dan rakyat boleh terima. Sebab mereka kata saya adil. Bila pembangkang cakap bohong, saya akan kata pembangkang cakap bohong. Begitu juga sebaliknya. Jadi sekarang kita ambil pendekatan. Mana-mana aduan kita terus jumpa polis.

S10: Setakat ini, bagaimana Dato' menerima penerimaan rakyat kepada SUHAKAM samaada betul-betul berada sebagai orang tengah ataupun condong ke arah mana-mana.

DS: Kita tak kisahlah apa keadaanya. Jika betul...SUHAKAM akan kata betullah. SUHAKAM dilantik oleh kerajaan untuk mendengar masalah, bukan mencari masalah sesiapa.

S11: Adakah latar belakang Dato' dari dunia cikgu memberi nilai tambah sebagai Pesuruhjaya SUHAKAM?

DS: Pengalaman memang berguna. Yang paling penting kita kena hormat orang. Saya pun tidak tahu bahwa suatu hari kerajaan akan lantik saya sebagai pesuruhjaya. Saya hanya mendampingi rakyat, turun padang ambil tahu masalah rakyat. Bukan sekadar berbincang isu-isu. Pembangkang sekarang cuba menggunakan isu seperti polis menyalahgunakan kuasa. Jadi kita kena bijak mengawal keadaan. Kita jangan bercakap kasar. Mereka manusia, saya juga manusia, Jika kita soft spoken, banyak masalah akan selesai.

S12: Dato' berpeluang berjumpa dengan Mas Selamat Kastari, dia pun kagum Dato' dibenarkan berjumpa dengan dia. Maknanya secara tidak langsung ia menerangkan kepada ketulusan ataupun keterbukaan Malaysia. Komen Dato'.

DS: Mas Selamat Kastari memang sangat kagum dengan kita. Dia memberitahu dia dijaga dengan baik. Makanan yang diberi juga baik. Berlainan hidup di Singapura. Sangat teruk. Makanan diberi tidak cukup. Layanan juga tidak bagus. Cuma sekarang dia merindui isterinya.

S13: Apa soalan lagi yang Dato' tanya Mas Selamat Kastari?

DS: Saya tanya macam mana dia rasa dan keadaan dia sekarang...dia kata dia seronok dan lebih rela ditahan oleh Malaysia. Malaysia lebih berperikemanusian dan lebih hormat.. Dia kata dia tidak terlibat...takbuat apa pun. Dia kata dia cuma tolong orang saja. Dia kata lebih baik ditahan di sini dari Singapura. Polis Singapura buat dia macam-macam. Seksa dia dan masukkan ubat dalam makanan yang diberi. Dia tahu. Itu yang dia maklumkan pada saya.

S14: Bila dia di tahan dibawah ISA, adakah dia merasa dia sudah 'terlepas dari mulut naga' jika berdasarkan cerita beliau itu?

DS: Saya terangkan kepada dia, kita tidak berniat untuk simpan dia lama-lama. Kita tahu dia rindukan keluarga. Tapi ini adalah prosidur. Dia faham. Dia seronok. Lebih baik ditahan di penjara Malaysia. Sebab itulah kita kena berani bercakap. Macam dulu, semasa saya nak masuk ke tempat Muslim. Ada kawan saya kata tak boleh masuk tempat Muslim. Saya tak kisah. Saya pergi juga. Saya buka kasut dan mereka menyuruh saya duduk dengan mesra. Di sini ingin saya katakan kita mesti lah pandai mengikut adab dan adat orang lain. Jika saya tak buka kasut, masuk, sudah tentulah orang marah kan..?

S15: Apa pandangan Dato' tentang ISA?

DS: Kita tak perlukan pada ISA ni...Tidak perlu. Jika d bandingkan dengan negara luar, negara luar lebih teruk. Kita ada undang-undang. Kalau mahu tangkap orang, gunalah undang-undang sedia ada. Orang marah ISA hanya kerana fobia nama. Jika diubah kepada nama lain...no problem!

S16: Apa bahagian dalam ISA yang Dato' rasa tidak bagus?

DS: Semua selari. Sehingga Syed Hamid Albar jadi MDN, u pergi tangkap pemberita tu buat apa? Kita mahu terangkan pun susah. Kalau Tun Dr. Mahathir, saya berani terangkan, kerana setiap fail dia check baru dia sain. Itu masalah mereka lah. Menteri seperti tidak memainkan peranan. Gunakanlah akta dan undang-undang yang ada. Saya tahu, mungkin ada orang UMNO tak suka saya, semua gaduh pasal nama.

S17: Jadi maksud Dato', akta itu ok tetapi nama tu kena 're-branding'lah..?

DS: Ya. Kena re-branding lah. Kalau gunakan ISA kepada jalan yang betul, tidak ada siapa akan marah. Macam Tun Dr. Mahathir, semua ini dia pandang serius. Dia akan check semua.

S18: Antara tanggungjawab SUHAKAM dan kehendak sebenar hati Dato', Dato' rasa tersepit?

DS: Kadang-kadang surat khabar yang patut dipersalahkan. Kita puji kerajaan dia langsung tak tulis. Tapi bila kita kritik kerajaan, besar dia keluarkan statement tersebut. Mahu marah dah tidak boleh. Kecuali jika kita ada surat khabar kita sendiri, memang banyak statement yang kita puji kerajaan. Sebab itulah kerajaan kena ada portal sendiri. Contohnya macam KDN. U ada portal u, bila kita puji, u kena keluarkan lah. Kalau mereka tak nak keluarkan, itu bukan salah kita.

S19: Dato' rasa berpuas hati setakat ini?

DS: Saya rasa berpuas hati sebab dapat bantu rakyat. Bila orang datang dengan masalah dan kita boleh selesaikan masalah, kita puas hati. Itulah kadang-kadang saya tengok saya memang kerja kadang-kadang 24 jam sampai sakit. Saya puas hati kerana dapat menolong.


--team berita ikdn


 

Hebahan Untuk Media
Kenyataan Media Menteri

Selamat Datang Kepada Pengunjung Kami,

iKDN ialah sebuah portal berita. Ia akan dilengkapi dengan elemen audio dan visual (webtv). iKDN berfungsi sebagai pelengkap sumber maklumat untuk rakyat Malaysia khususnya yang berkaitan dengan Kementerian Dalam Negeri.

Di sini para pengunjung boleh mendapat info-info terkini mengenai KDN.

Media dibenarkan untuk memetik sebarang maklumat di dalam portal ini sebagai bahan siaran di media masing-masing dengan syarat dimaklumkan sumber berita itu dipetik dari www.ikdn.org atau www.ikdn.gov.my

Terima kasih

Editorial iKDN
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri

Tahukah Anda
Di bawah Akta Penagih Dadah 6(1)b ibu bapa boleh secara sukarela menghantar anak-anak mereka yang berhadapan dengan masalah najis dadah ke pusat pemulihan (PUSPEN). Dalam tempoh 20 bulan terakhir ini, 444 kes sukarela dilaporkan. Jumlah itu mewakili 6.33% dari jumlah penghuni di PUSPEN seluruh Negara.
Jumlah Pengunjung:

© 2009, Portal Berita KDN, Kementerian Dalam Negeri, Hakcipta Terpelihara

Kami mengalu-alukan input anda untuk dimuatkan didalam portal berita ini.
Sila Hubungi Kami