Temubual Eksklusif Bersama Aznil Hj. Nawawi
Editor iKDN | 14 Disember 09 2:47am

KATA ORANG GOLONGAN SELEBRITI TERUTAMA DARI BIDANG SENI HIBURAN HANYA GAH DARI SEGI GAYA DAN IMEJ.  TETAPI DARI SEGI PEMIKIRAN BERAT MEREKA TIDAK MAMPU MENJAWAB SOALAN-SOALAN YANG MENUNTUT MEREKA UNTUK MEMBERIKAN PANDANGAN KRITIS DAN ANALITIS.  IKDN MENGAMBIL CABARAN INI DENGAN MENEMUBUAL PENGACARA TERSOHOR TANAHAIR SAUDARA AZNIL B. HJ NAWAWI (AZN).  BELIAU DIBERIKAN SOALAN-SOALAN YANG BEGITU BERBEZA DARI SKOP KERJAYA BELIAU.  IKUTI BUAL BICARA DI BAWAH YANG AKAN MEMBUKA MINDA ANDA. 

                                                                ************************************************************ 

S1: Nama Aznil Hj. Nawawi bukan nama yang asing di negara kita masa kini.  Sebagai selebriti apakah peranan anda kepada 1 Malaysia? 

AZN:  Semua orang tahu konsep 1 Malaysia ini diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak. Ia sebenarnya adalah pengukuhan kepada konsep muhibah yang diperkenalkan oleh ayahanda beliau sendiri  Allahyarham Tun Razak rentetan peristiwa 13 Mei dahulu. Konsep muhibah ini diterapkan melalui Rukun Negara juga nyanyian lagu muhibah di kalangan kanak-kanak sekolah untuk mengeratkan lagi hubungan ataupun hubungan kaum yang tercalar akibat 13 Mei itu.  Saya sebahagian dari kanak-kanak pada zaman itu yang melalui pengalaman ini.  Saya dapati ianya diteruskan hingga sekarang. Cuma sejak-sejak akhir ini kita dapati kelantangan pihak tertentu cuba mempersoalkan bahawa hak bukan Melayu seolah-olah dinafikan.  Permainan sentimen ini cukup berbahaya. 

Saya melihat konsep 1 Malaysia ini dapat mengeratkan kembali apa jua hubungan yang mula renggang itu.  Saya telah menjenguk blog Perdana Menteri dan membaca tujuan 1 Malaysia diadakan. 1 Malaysia ini mempunyai lapan tiang  yang kita nak tegakkan. Selalu kita ingat 1 Malaysia diperkenalkan kerana perhubungan kaum sahaja. Sebenarnya ada tujuh tiang lain yang harus kita imbangkan untuk konsep 1 Malaysia ini. Memang sedih apabila kita melihat di mana-mana orang menjerit pasal 1 Malaysia tetapi mereka tidak pun tahu maksudnya.  Mereka bayangkan tentang perhubungan antara kaum.   

Matlamat sebenarnya lebih dari itu.  Jati diri, semangat membangunkan negara dan banyak lagi.  Dalam kerjaya saya sebagai pengacara, penyampai radio dan kadang-kadang penceramah motivasi kepada pelajar sekolah,  kefahaman 1 Malaysia ini sangat banyak digunakan. Saya sudah pun menggunakan konsep 1 Malaysia lama dulu untuk memberikan motivasi kepada anak-anak bangsa kita.  Cuma sekarang ia lebih kelihatan dengan konsep 1 Malaysia. 

S2: Dari jawapan yang diberikan, saya melihat saudara Aznil  mempunyai sisi pandangan yang jarang diangkat dengan baik oleh rakan-rakan dalam bidang ini.  Ia memperlihatkan untuk menjadi seorang personaliti sebenar, kita perlu berketrampilan dari pelbagai segi. 

AZN: Saya diajar daripada kecil untuk kita tahu mengatur ayat pada salaman yang pertama. Daripada salaman yang pertama kita tahu samada orang itu mahu bergurau dengan kita, datang untuk berjenaka, datang untuk sesuatu yang serius atau datang untuk sesuatu yang sedih.  Jadi kita secara automatik sudah boleh membaca bahasa badan orang.  Dari situ kita boleh sesuaikan diri dengan cara kita bercakap dan cara kita membawa diri, cara kita berpakaian, cara kita bergerak, duduk, berlari, berjalan dan sebagainya. Perkara ini tidak diajar di sekolah.  Kadang-kadang kita menganggap semua orang sama seperti kita.  Walhal setiap dari kita tidak sama antara satu sama lain.  Setiap dari kita mempunyai karektor, misi, latarbelakang, pendidikan dan keluarga yang berbeza. 

Bila orang datang menanyakan soalan atau tujuan, kita akan dapat tahu tujuannya ringan atau berat.   Dari situ kita akan menyesuaikan diri kita.  Saya akan menjadikan diri saya ringan. Setelah saya amati bahawa  saya juga mempunyai tanggungjawab untuk menjadi serius. Saya ditonton oleh ramai orang, saya didengar oleh ramai orang, jadi apabila saya berjenaka setiap masa banyak misi-misi ataupun objektif yang boleh saya salurkan secara efektif gagal. Dan saya adalah 'kenderaan' yang sangat cepat sampai kepada orang ramai. Jadi jika saya tidak sampaikan sesuatu dalam perkataan ataupun ayat yang saya berikan ialah satu tragedi. 

S3: Dek pengaruhnya kepada masyarakat golongan artis digunakan untuk mempromosikan kempen-kempen perpaduan, sivik dan sebagainya.  Golongan artis ini memberikan kerjasama tetapi fahmakah mereka dengna 1Malaysia dan sebagainya.  Apakah pandangan saudara Aznil dalam perkara ini? 

AZN:  Tidak mengapalah, jika mereka hanya faham satu bahagian daripada lapan konsep 1 Malaysia itu pun sudah bagus.  Lebih baik lagi jika mereka ada cita-cita untuk menjadi nombor satu di kalangan mereka.  Macam budaya kecemerlangan adalah salah satu elemen dalam 1 Malaysia.  Kita berikrar untuk menjadi nombor 1.  Mereka bekerja untuk menjadi no 1. Semua orang nak jadi no 1 dalam pekerjaan mereka dan ini ialah salah satu perkara dalam 1 Malaysia. Kita lupa 1 Malaysia ni bukan hanya bermaksud perpaduan kaum.  Sebenarnya bekerja menjadi nombor 1 itu adalah salah satu konsep 1 Malaysia.  Berani gagal juga 1 Malaysia.  Dari gagal kita bangun membina diri kita kembali.

 
S4: Bagaimana agaknya golongan artis ini memahami pengertian keselamatan negara? 

AZN:  Keselamatan dalam negara memang penting. Tanpanya bagaimana kita boleh bekerja dan bergerak ke sana sini.  Serangan keselamatan pula datang dalam pelbagai bentuk.  Serangan ekonomi, serangan pemikiran, serangan perilaku dan banyak lagi...Kita tidak boleh mengiyakan kononya demostrasi dan menjerit di Parlimen itu adalah evolusi baru. Keselamatan negara itu ialah apabila budaya kerjasama dan saling berbincang diamalkan.  Jika tidak kita hanya akan membuatkan pemikiran anak-anak kita bercelaru kerana lain yang dicakap lain yang mereka lihat.  Pemimpin juga jangan ambil mudah dan jangan ambil kesempatan dari konsep keselamatan negara kerana kepentingan politik mereka.  . 

Saya pernah hidup dalam dunia kekalutan tahun 13 Mei 1969.  Ketika itu saya dalam darjah satu. Saya dapat lihat di depan mata saya sendiri bagaimana orang Cina, India dan Melayu 'huru-hara'.  Keadaan ini berlaku apabila ia diambil kesempatan oleh parti-parti politik.   

S5: Saya tertarik dengan jawaban saudara Aznil berkait kecelaruan remaja kita hari ini. Tetapi sering kita mendengar kecelaruan remaja dipengaruhi oleh artis-artis dan selebriti.  Saudara Aznil sebahagian dari mereka.  Komen... 

AZN:  Saya berpandangan kecelaruan budaya remaja ini sebenarnya bermula daripada rumah.Seandainya ibu bapa mereka sendiri gagal untuk memberi acuan yang betul kepada anak-anak dari segi budi bahasa, dari segi agama, dari segi taat setia jadi mengapa para ibu bapa menuding jari kepada orang lain.  Kalau mereka sudah teguh di rumah mereka tidak akan terpengaruh dengan elemen luar.  Perkara-perkara seperti ini pula tidak diajar di sekolah.  Dulu di sekolah kita diajar dengan subjek Tata Rakyat atau Sivik tetapi ia bukan subjek wajib.  Saya tidak pasti adakah subjek itu masih diajar di sekolah.  Malanglah anak-anak kita. 

Lebih malang lagi bila kita sudah mempunyai dasar terbuka dari segi radio, dari segi tv, dari segi internet. Dari segi filem yang masuk kita mempunyai dasar yang terbuka.  Walaupun kita mempunyai lembaga penapis dan orang yang memantau tetapi adalah lebih baik kalau kita sendiri yang menapisnya.  Saya terbuka kepada banyak benda baru.  Pemodenan orang kata.  Saya duduk di Kuala Lumpur. 47 tahun saya hidup, 47 tahun saya duduk di Kuala Lumpur dan saya adalah antara manusia yang terdedah kepada benda-benda yang moden dan pembangunan. Tapi saya tidak menggadaikan tatasusila saya, saya masih hormat dan sayang dengan agama saya.  Saya masih tidak  menggadaikan sopan-santun saya semata-mata nak berdiri sama tinggi dengan orang barat. Untuk bangun memberontak cara barat. Saya tahu saya ada saluran, jadi kenapa agaknya sering kali benda ini dituding jari kepada golongan artis. Golongan selebriti. Mereka dikatakan role model tetapi sebenarnya role model ni bukan golongan artis sahaja.  Artis adalah manusia biasa.  Jika mereka buat silap orang yang menjadikan mereka sebagai role model seharusnya tidak mengikut jejak yang silap itu. 

Di mana letaknya role model seorang public figure seperti ahli politik, golongan agama yang pada waktu yang sama berserban, tutup aurat tapi pada masa yang sama moralnya rendah.  Begitu juga dengan para cendekiawan, intelektual.  Adalah tidak adil apabila berlaku satu-satu musibah artis yang dipersalahkan. 

S6: Sebagai personaliti adakah saudara Aznil merasa selamat.  Dengan pelbagai kisah jenayah jalanan, semua orang terdedah kepada penjenayah. 

AZN:  Keselamatan di negara kita saya rasa saya boleh bahagikan kepada dua. Pertama ialah keselamatan memberikan pendapat. Dulu-dulu kita kena fikir sebelum kita bercakap. Tapi sekarang ini nampak gayanya dengan kemunculan pelbagai media kita begitu senang untuk memberikan pendapat kita. Kita ada Internet, radio, tv...walau kadang-kadang pendapat yang diberi itu tidak lah bijak pun tetapi kerana orang yang memberi pendapat itu telah dianggap bijak sebelum ini maka pendapat itu dianggap sebagai bijak kononnya. 

Keselamatan ke dua pula ialah keselamatan ketika berada di luar rumah. Ya...tidak seperti dahulu lagi. Saya masih ingat saya berjalan kaki dari rumah saya di Kg. Datuk Keramat ke Chow Kit Road...tiada apa pun yang berlaku. Tiada apa pun yang menakutkan sebab kita semua saling mengenal walau kita berbeza bangsa.  Baik Cina, India, Melayu...kita masih saling menghormati dan bersopan santun, tolong menolong.  Itu adalah budaya kita. Jika kita sesat, kita tanya orang, orang akan bawa kita ke balai polis atau hantar sampai ke rumah. Tapi sekarang ini  kalau kita sesat, kita tanya salah orang...orang itu akan membawa kita ke Siam, jual kita kalau lakulah (ketawa). Ataupun menjadikan tebusan untuk wang tebusan yang tinggi. Jadi, keselamatan sudah tiada.  Mungkin salah satu faktornya kerana kemasukan warga luar.   

S7: Sebagai rakyat Malaysia, bagaimana Aznil melihat Malaysia kini? Adakah Aznil berasa rindu pada masa lampau? 

AZN: Saya berpijak pada bumi yang nyata. Saya tidak hidup di zaman dahulu. Saya tidak mahu kembali ke zaman dahulu sebab itu adalah superficial. Cuma yang boleh kita kuatkan sekarang ini adalah budi bahasa kita, makin lama makin kurang. Saya merasa sangat malu apabila kita berbahasa. Saya pergi ke Brisbane, Australia. Masyarakat di sana sangat berbudi bahasa. Anda akan terperanjat jika saya katakan bahawa orang-orang putih di sana mempunyai budi bahasa dan etika pergaulan yang sangat lebih baik daripada negara kita. Saya pergi dan mereka senyum apabila selisih dengan kita dan mengucapkan salam cara mereka, walaupun mereka tidak kenal. Di sini kita kelihatannya amat prejudis sesama kita.  Sebagai contoh, bila kita mengucapkan selamat pagi, "mesti ada apa-apa ni…aku takut nak jawab, aku takut nanti aku kena rogol, kena rompak, aku kena samun…". Di sana tidak ada perasaan prejudis itu. Mereka semua menggangap orang lain juga sebaik mereka. Jika kita sesat, kita boleh ketuk pintu mana-mana minta tolong dan mereka boleh bawa kita dengan kereta mereka dan hantar ke tempat yang kita mahukan.  

Remaja mereka juga berhemah.  Sebagai contoh semua remaja lepasan sekolah akan hadir pada perjumpaan tahunan mereka.  Tidak berlaku sebarang kekacauan. Mereka sangat menghormati kawan wanita yang lain. Mereka tidak minum. Di situ mereka hanya minum air mineral. Itu adalah janji mereka kepada pemerintah. Mereka tidak merokok, tidak ada dadah dan tidak ada seks liar.  Saya berani katakan begitu kerana saya melihat sendiri majlis mereka.  Tapi kalau di Malaysia...saya percaya remaja ini jika dilepaskan bebas mereka akan ambil kesempatan.  Dulu remaja kita tidak begini.  Kita ada budaya ini dahulu. Kenapa hilang? Kita dapat lihat di lorong-lorong gelap remaja mengambi peluang untuk berpeleseran dengan yang bukan muhrim. Bahkan anak remaja kita begitu berani untuk berpegangan tangan dan bercumbu di tempat awam.  Saya tidak mahu kembali ke zaman yang kita ketinggalan...zaman yang tidak ada bas, elektrik, jalanraya..tetapi saya mahu kembali ke zaman di mana anak-anak remaja kita kaya dengan budi bahasa dan adab sopan. 

S8: Saudara Aznil pernah melalui zaman remaja. Bagaimana remaja dahulu dengan remaja sekarang? 

AZN:  Dari segi menutup aurat saya harus beri pujian pada remaja sekarang.  Walau ramai yang tutup aurat atas dasar ikutan atau dasar suruhan, tutup aurat adalah satu perkara yang baik. Berbanding dengan remaja pada zaman saya. Zaman saya dulu pakai 'bebet', pakai 'hot pants', aurat terdedah di mana-mana..tetapi hormat dan budi bahasa mereka tebal berbanding sekarang.  Mereka tahu menghormati orang tua, mereka tahu untuk bercakap dengan nada yang sopan, mereka tahu mengucapkan terima kasih, mereka tahu mengucapkan maaf, mereka tahu bersyukur dan yang herannya sekarang ini walaupun ada yang menutup aurat tetapi kita dapat lihat mereka masih kasar dari percakapan mereka.  Kalau dilihat dalam Macam-Macam Aznil dan Tom-Tom Bak, mereka nampak saya girang. Tapi perasankah anda bila saya bersalam dengan orang tua, saya akan tunduk kepala, saya akan cium tangan dan mungkin itu orang tidak nampak. Bila saya bercakap dengan artis veteran, saya akan rendahkan suara, saya akan panggil dengan panggilan ibu, bapak, ataupun aunty, tidak panggil nama, tidak tinggikan suara saya dan saya tidak melakukan  lawak-lawak yang tidak kena dengan usia tetamu saya. Tetapi bila saya bercakap dengan anak-anak remaja supaya anak remaja dekat dengan saya kadang-kadang saya terpaksa gunakan bahasa mereka, bila saya dah 'tangkap' mereka dalam ruang hidup saya, secara tidak langsung  saya akan ajar, 'ni kenapa pakai baju Melayu macam ni, baju Melayu sepatutnya dikancing sampai ke atas,' 'ni kenapa pakai songkok macam ni,' saya betulkan cara pakai songkoknya. Jadi, secara tidak langsung orang ketawa sebab saya tidak boleh jadi orang yang memberi ceramah yang sangat.  Jadi tidak ada lah Aznil Hj. Nawawi lagi di situ. Tetapi itulah, masalahnya bila kita cakap macam ini nanti ada orang yang tidak boleh terima, tapi bila kita cakap di bawah sedar, orang takkan sedar. Ini adalah cabaran saya sebenarnya. 

S9: Berbalik pada soal keselamatan, ada yang kata tugas menjaga keselamatan adalah tugas polis. Apa pendapat Aznil? 

AZN:  Saya rasa tugas menjaga keselamatan ini polis hanya membantu. Tugas menjaga keselamatan ini adalah tanggungjawab kita. Kita mempunyai tanggungjawab yang  besar untuk menjaga keselamatan kita. Jika kita bersikap sendiri-sendiri seperti enau dalam belukar, lepaskan pucuk masing-masing, ini bermakna kita gagal menjaga keselamatan kita. Orang boleh rompak bila-bila masa sahaja di depan mata kita,  Kita tidak mahu ambil tahu kerana itu tugas polis. Kita boleh nampak kanak-kanak didera di depan mata kita tapi kita buat tak tahu. Sebab itu juga kerja polis pada pemikiran kita. Kita boleh nampak tuan mendera orang gaji. Tapi kita diam sebab bangsa yang didera itu bukan bangsa kita dan itu kerja polis. Kita boleh nampak orang yang bawa kereta yang menjadi pembuli jalanan, kita diam sebab itu adalah kerja polis. Bayangkan jika 22 juta rakyat Malaysia jadi polis  berbanding dengan beberapa ratusan ribu sahaja polis yang ada, polis boleh berlindung di bawah rakyat Malaysia. Bukannya kita berlindung di bawah sayap polis dan kalau semua mereka ini jadi polis, tahu tugas masing-masing saya rasa kita tidak takut pada polis malahan orang akan takut dengan kita. Sekarang ini kita takut dengan polis walaupun kita tidak bersalah. Sebab mak selalu cakap "kau pergilah sana, polis tangkap nanti…". Polis sepatutnya menjadi kawan kita. Anak-anak selalu di momokkan dengan agahan-agahan begitu. Anak tak buat salah pun, nampak polis pun dia lari, takut. Sedangkan kita seharusnya menjadi kawan polis. Dan begitu juga kita menjadi polis supaya orang takut dengan kita. Kita nak buat apa pun, "alamak, ada orang di situ, tak boleh buat…". Sekarang ini, ada orang dekat situ pun dia boleh rompak bank.  


S10: Dalam program Aznil, Macam-Macam Aznil, Tom-Tom Bak, persepsi masyarakat sekarang ini, pihak polis, polis punya kerja. Mungkin saudara Aznil boleh membawa mereka ke dalam program Aznil  dalam satu sisi mesra mereka, wajah mesra mereka, yang tegas itu tegas lah... apa pendapat saudara Aznil? 

AZN:  Bagi saya ini adalah satu saluran kecil sahaja. seperti yang saya kata, ia bermula dari rumah. Saya tidak perlu membawa polis ke dalam rancangan saya sedangkan saya boleh jadikan orang ramai menjadi polis. Saya boleh panggil siapa saja untuk mengingatkan tanggungjawab mereka. Itu yang patut dilakukan sebenarnya. Ada tanggungjawab-tanggungjawab yang saya lakukan dalam program saya. Saya ingatkan mereka, yakin pada jiran, sayang jiran anda. Saya ingatkan mereka supaya jangan jadi pembuli jalanan dan itu juga adalah tanggungjawab untuk kita jadi polis. Jadi bagi saya bila semua orang jadi polis, kita tidak perlu panggil polis datang ke dalam studio dan ingatkan mereka supaya berkawan dengan polis. Apabila ini berlaku, bila kita bawa polis masuk, saya rasa ini akan menjadikan satu rancangan yang kurang mesra dan tidak akan ditonton. Bila rancangan itu tidak ditonton, ia akan menjadi satu rancangan yang malang pula dan ini tidak menguntungkan dari segi ruang masa yang diberikan sebab apabila muncul polis di situ, polis akan bercakap dengan nada mereka. Dengan bahasa mereka. Dengan imej mereka. Bila benda ini menjadi kaku, sebab polis tidak boleh berlawak sama dengan saya, identitinya akan hilang. 

S11: Tetapi ada juga polis yang boleh bernyanyi, berlawak dan berlakon? 

AZN:  Benar. Tetapi ia boleh menurunkan ketegasan imej polis mengenai isu-isu nada yang berbeza. Mereka tidak boleh bercakap seperti anak remaja. Takkan polis nak cakap macam itu. Sedangkan bahasa itu yang sangat rapat dengan penonton-penonton kita. 'Awak tidak dibenarkan untuk merompak. Sesungguhnya merompak itu merupakan satu kesalahan dan akan didakwa di bawah satu akhta undang-undang kes jenayah……'. Ini menakutkan dan apabila menakutkan ia menghalau penontonan. Jadi bila ini berlaku, ia menjadi sukar dan pendekatan yang lebih mesra adalah mewakilkan kepada artis. Artis kita banyak didedahkan dengan kerja-kerja polis ini. Membanteras jenayah. Semua jenayah yang berlaku dari sekecil-kecilnya kita perlu tahu. Bila artis itu dijemput ke program tidak kira rancangan siapa pun dia mesti perlu tahu macam mana dia nak masukkan sedikit isu keselamatan. 

--team berita ikdn

Hebahan Untuk Media
Kenyataan Media Menteri

Selamat Datang Kepada Pengunjung Kami,

iKDN ialah sebuah portal berita. Ia akan dilengkapi dengan elemen audio dan visual (webtv). iKDN berfungsi sebagai pelengkap sumber maklumat untuk rakyat Malaysia khususnya yang berkaitan dengan Kementerian Dalam Negeri.

Di sini para pengunjung boleh mendapat info-info terkini mengenai KDN.

Media dibenarkan untuk memetik sebarang maklumat di dalam portal ini sebagai bahan siaran di media masing-masing dengan syarat dimaklumkan sumber berita itu dipetik dari www.ikdn.org atau www.ikdn.gov.my

Terima kasih

Editorial iKDN
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri

Tahukah Anda
Di bawah Akta Penagih Dadah 6(1)b ibu bapa boleh secara sukarela menghantar anak-anak mereka yang berhadapan dengan masalah najis dadah ke pusat pemulihan (PUSPEN). Dalam tempoh 20 bulan terakhir ini, 444 kes sukarela dilaporkan. Jumlah itu mewakili 6.33% dari jumlah penghuni di PUSPEN seluruh Negara.
Jumlah Pengunjung:

© 2009, Portal Berita KDN, Kementerian Dalam Negeri, Hakcipta Terpelihara

Kami mengalu-alukan input anda untuk dimuatkan didalam portal berita ini.
Sila Hubungi Kami