Temubual Eksklusif Bersama Tan Sri Jins Shamsuddin
Editor iKDN | 24 Disember 09 2:54am
NAMA BELIAU TIDAK PERLU DIPERKATAKAN LAGI. KETOKOHAN DAN KOMITMEN BELIAU DI BIDANG SENI INI JANGAN SEMBARANG DIUJI. ANAK DIDIK ALLAHYARHAM TAN SRI P RAMLEE INI NYATA SEORANG ANAK SENI YANG BERWAWASAN. IKUTI TEMUBUAL BERSAMA TAN SRI JINS SHAMSUDDIN (JS) YANG KINI SIBUK DENGAN TANGGUNGJAWAB BARU BELIAU SEBAGAI SENATOR DI DEWAN NEGARA.
1. Apa pandangan Tan Sri dengan karya karyawan kita sekarang ini yang lebih kepada konsep berhibur dalam filem-filem atau karya mereka?
JS: Kita harus melihat apa tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia. Anak seni juga harus bertanya diri mereka apakah tanggungjwab kita pada negara ini. Filem tidak harus dilihat sebagai elemen untuk berhibur semata-mata. Filem juga boleh memainkan peranan membangunkan masyarakat. Filem juga medium untuk budaya, bangsa dan agama. Saya masih ingat filem-filem kita dahulu kala semasa zaman Singapura, banyak filem-filem yang kita terbitkan tidak mengenepikan unsure agama contohnya Filem Semerah Padi. Filem nilai masyarakat seperti filem Anakku Sazali. Bagaimana kita mendidik seorang anak diketengahkan dalam filem ini.
Begitu juga kita melihat filem Ibu Mertuaku. Peranan ibu mertua dalam rumahtangga anaknya. Itu antara benda-benda yang boleh dijadikan contoh teladan. Filem antara Dua Darjat dan banyak filem-filem P.Ramlee yang memberi banyak pengajaran mesej yang hendak disampaikan.
2. Kelihatannya hasil karya hari ini lebih kepada cinta remaja dan pergelutan dunia korporat. Komen Tan Sri?
JS: Sangat berbeza kerana karyawan hari ini lebih menumpukan perhatian kepada keuntungan. Saya harus akui amat kurang perhatian untuk pembangunan sahsiah insan. Zaman Jalan Ampas dulu kita menekankan kepada latihan dalaman. Baik pelakon atau pengarah mereka akan menghasilkan mutu kerja yang terbaik. Hari ini kebanyakkan mereka tidak terlatih. Kebanyakkannya lebih bermotifkan keuntungan. Memang tidak semua macam tu. Ada karyawan yang bertanggungjawab tapi amat sedikit. Tidak hairanlah perbezaan karyawan dulu dan kini amat berbeza.
Perbezaannya amat jauh kerana dulu jika kita ingin menerbitakn sebuah filem sejarah misalnya Hang Tuah, kita akan melantik dan merujuk kepada mereka yang ahli dan tokoh sejarah. Hari ini kita mempunyai ramai penerbit bebas. Jadi masing-masing mempunyai kebebasan untuk menerbitkan filem berdasarkan kepada kehendak sendiri.
3. Sebagai orang lama dan antara yang paling senior dalam industri ini tidakkah Tan Sri merasakan industri ini sedang berhadapan dengan suatu kebimbangan?
JS: Ya, kalau kita tidak memperbaikinya. Adalah tidak musatahil untuk masa depan industri filem kita menjadi kabur sedangakan filem sebenarnya mempunyai peranan. Ada filem yang dibuat boleh merosakkan masyarakat. Ada filem yang dibuat untuk membina masyarakat, banyak contoh yang boleh saya berikan. Misalnya filem bertajuk Lelaki Komunis Terakhir. Ia boleh memecah belahkan masyarakat kerana kepercayaan pengarah filem itu bahawa komunislah yang memperjuangkan kemerdekaan. Ia merosakkan kepercayaan masyarakat. Kepada masyarakat yang tidak tahu sejarah dan yang tidak mengikuti sejarah, mereka akan berfikir kepercayaan pengarah itu adalah benar. Saya cadangkan filem tersebut diharamkan. Selepas itu pengarah berkenaan buat lagi filem yang menjurus kepada maksud itu...filem Apa Khabar Orang Kampung. Namun filem itu juga diharamkan kerana membawa subjek yang memecah belahkan masyarakat. Bagi mereka yang menyokong ideologi komunis filem itu akan membawa kembali Chin Peng ke negara ini. Rakyat majoriti pasti marah.
4. Tetapi Tan Sri tidakkah ia seperti menyekat kepada kebebasan berkarya
JS: Oh tidak sama sekali. Kita berkarya biarlah karya itu berpandukan kepada undang-undang negara ini. Jangan sembrono bebas.
5. Antara karya Tan Sri, Bukit Kepong meninggalkan legasi yang paling cantik dalam hidup Tan Sri…
JS: Filem Bukit Kepong merupakan sebuah filem sejarah yang telah diambil oleh Kerajaan dijadikan buku teks. Fakta sejrahnya 98 peratus tepat.
6. Adakah filem Bukit Kepong dibuat berdasarkan garis panduan perfileman? Jika begitu maksudnya garis panduan yang ada tidak lah penghalang untuk melahirkan sebuah karya hebat?
JS: Ya, saya ikut garis panduan yang sama. Saya buat kajian selama setahun di Bukti Kepong. Pada mulanya Filem Negara berniat nak terbitkan tetapi atas sebab-sebab dalam prosidur kerajaan maka Ketua Polis Negara pada masa itu Tun Hanif bertanya saya kalau-kalau saya berminat. Saya kata saya berminat tetapi dengan syarat mendapat bantuan daripada Tun Hanif untuk mendapatkan props seperti baju uniform, barangan senjata dan anggota polis-polis yang dibayar elaun oleh polis sendiri.
7. Maknanya Tan Sri telah membuktikan bahawa walaupun patuh kepada panduan perfileman tetapi Tan Sri telah berjaya menghasilkan filem yang hebat
JS: Filem ini menjadi bukti bahawa yang memperjuangkan kemerdekaan ialah kerajan dan yang membuat onar ialah komunis. Maka itulah Kementerian Penerangan meminta saya untuk mengedarkan filem ini ke semua stesyen televisyen, sekolah-sekolah dan universiti. Tujuannya untuk menunjukkan kebenaran akan keganasan Komunis.
8. Yang pelikanya kenapa karyawan hari ini yang memiliki segala kemudahan dan teknik terbaru tetapi masih belum mampu untuk tampil dengan sebuah filem sehebat Bukit Kepong?
JS: Mereka menganggap filem-filem patriotik seperti ini tidak mendatangkan keuntungan. Saya telah mengeluarkan belanja RM1.3 juta untuk filem Bukit Kepong. Dan pada waktu itu kebanyakkan filem hanya bermodal RM250ribu. Melalui filem Bukit Kepong saya berjaya mengutip RM1.7 juta di mana saya untung RM400ribu. Filem-filem sejarah ini penting untuk ditunjukkan kepada anak-anak bagi mengenali sejarah. Jika sejarah diketepikan maka kita tidak ada rasa jati diri bangsa.
9. Berkaitan dengan jati diri yang Tan Sri sebutkan tadi, saya rasa ianya ada kaitan dengan kurangnya penekanan subjek sejarah di sekolah, kemasukan filem-filem barat dan filem-filem kita masa kini tidak menjurus kepada patriotisme.
JS: Kita memang dipengaruhi oleh budaya barat. Anak-anak muda kita telah dipengaruhi. Kita kemaruk cerita-cerita hantu, jembalang dan puaka. Filem-filem ini hanya mahu mengambil untung dan tidak menanam nilai-nilai pembangunan bangsa dan negara. Jika kita tidak mendidik anak-anak muda kita ini percayalah mereka akan hanyut.
10. Sebagai anak seni sejujurnya apa perasaan Tan Sri?
JS: Kita ada persatuan dan saya telah bawa isu ini supaya kita ada dasar filem negara. Saya telah membawa usul ini ke Parlimen dan diluluskan. Maknanya kita telah ada dasar. Jadi gunalah garis panduan untuk membuat filem. Di dalam dasar ada garis panduan dan dalam garis panduan ada dasar. Jika tidak guna maka rosaklah kita. Soalnya kita kena tanya diri kita...apa tanggungjawab kita sebagai pembikin filem, apa tanggungjawab kita kepada bangsa dan agama. Lembaga Penapis perlu kekal ada. Sama ada kita suka atau tidak. Banyak filem yang membawa kepada keruntuhan moral.
11. Tapi karyawan yang muda-muda mengatakan mereka tidak dapat mengeluarkan filem-filem yang bagus dan kreatif kerana terhalang dek garis panduan.
JS: Ini kerana mereka tidak diberikan maklumat yang jelas. Saya telah buktikan.
Saya masih mematuhi peraturan. Kita kena seimbangkan antara nilai dan keuntungan.
12. Apa perasaan Tan Sri bila dikatakan golongan karyawan inilah yang memusnahkan nilai bangsa. Karyawan hari ini yang lebih bermotifkan komersial dan duit.
JS: Saya tidak mahu mengata orang. Tetapi saya akan tegur. Saya orang lama dan saya tidak akan melihat sahaja.
--team berita ikdn
|