Kenyataan Akhbar Menteri Dalam Negeri - ‘Usaha Penambahbaikan Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing
Editor iKDN | 6 Januari 10 4:34am

Kenyataan Akhbar

YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri 

‘Usaha Penambahbaikan Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing’ 

Putrajaya
6 Januari 2010


Dalam Mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang pertama bagi tahun 2010 pada hari ini, kita telah antara lain melihat semula gerak kerja yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2009 dan seterusnya mengenal pasti agenda-agenda penting yang perlu diletakkan sebagai keutamaan pada tahun 2010.

 

Sebagaimana yang telah dimaklumkan sebelum ini, kita telah berjaya untuk memenuhi tiga Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi tahun 2009 iaitu menyelesaikan permohonan tertunggak untuk kewarganegaraan, permit masuk dan daftar lewat sijil kelahiran. Sesungguhnya ia merupakan satu perkembangan yang amat membanggakan apabila mengambil kira permohonan-permohonan yang tertunggak tersebut adalah untuk tempoh 10 tahun dari tahun 1997 hingga 2006 dan melibatkan jumlah yang amat besar iaitu 32,927 permohonan kewarganegaraan, 16,812 permohonan permit masuk serta 93,360 permohonan sijil kelahiran. Lebih mengkagumkan adalah KPI tersebut telah dapat dicapai dua bulan lebih awal daripada tarikh yang telah ditetapkan. Usaha ini tidak akan terhenti setakat ini sahaja dan kita telah menetapkan agar pada tahun ini permohonan tertunggak untuk tahun 2007 akan dapat diselesaikan.

 

Pada masa yang sama, mesyuarat pada hari ini juga telah memutuskan agar antara fokus dan keutamaan gerak kerja kita untuk 2010 adalah untuk menambahbaik dan memantapkan pengurusan dan pemantauan warga asing di negeri ini. Ini meliputi semua kategori warga asing yang wujud sama ada yang berada di Negara ini secara sah, mereka yang telah tamat tempoh sah dan mereka yang masuk ke Negara ini secara haram.

 

Usaha ini akan melibatkan satu gerak kerja yang komprehensif dan melibatkan pelbagai agensi dan kementerian. Sebagai langkah awal, kita telah menubuhkan Jawatankuasa Induk Penambahbaikan Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing di peringkat KDN yang akan dipengerusikan sendiri oleh Menteri Dalam Negeri. Jawatankuasa ini akan bertanggungjawab untuk merumuskan isu dan permasalahan serta merangka strategi dan pelan tindakan yang kemudiannya diangkat untuk pertimbangan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin dan Pekerja Asing yang dipengerusikan oleh YAB. Timbalan Perdana Menteri.

 

Kita telah mengenal pasti empat aspek yang perlu diberikan penekanan iaitu prosedur kemasukan, mekanisme pemantauan, penguatkuasaan dan perundangan. Sehubungan itu, kita telah menubuhkan empat Jawatankuasa Kerja seperti berikut;

  1. Jawatankuasa Kerja Kajian Prosedur Kemasukan (Visa, Pas & Permit) dipengerusikan oleh YM. Dato’ Raja Azahar Raja Abdul Manap, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan KDN;
  2. Jawatankuasa Kerja Pemantapan Mekanisme Pemantauan dan Penyediaan Pengkalan Data dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Sri Mahmood Adam, Ketua Setiausaha KDN;
  3. Jawatankuasa Kerja Penambahbaikan Strategi dan Pelaksanaan Aspek Penguatkuasaan dipengerusikan oleh YB. Tuan Jelaing Mersat, Timbalan Menteri KDN;
  4. Jawatankuasa Kerja Semakan Perundangan yang dipengerusikan oleh YB. Datuk Wira Abu Seman Yusop, Timbalan Menteri KDN.
 

Setiap jawatankuasa kerja ini akan berfungsi untuk membuat penelitian dan kajian terperinci berhubung setiap aspek yang digariskan dan kemudiannya mengemukakan cadangan pemantapan dan penambahbaikan di peringkat jawatankuasa induk. Kita berhasrat untuk membentuk satu strategi dan pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu sama ada dalam aspek perancangan mahupun pelaksanaan dengan mengambil kira senario baru isu pekerja asing dan pendatang asing yang juga mempunyai hubung kait dengan isu antarabangsa seperti aktiviti pemerdagangan orang dan keganasan global.

 

Begitu juga, kita berusaha untuk menangani isu-isu domestik yang dikaitkan dengan warga asing seperti sindiket penyeludupan dadah, pelakuan jenayah dan impak sosial yang lain. Perkara-perkara ini perlu dibendung daripada menjadi semakin besar dan mengancam keselamatan rakyat serta kesejahteraan Negara secara keseluruhannya. 

 

=Tamat=

 

 

Hebahan Untuk Media
Kenyataan Media Menteri

Selamat Datang Kepada Pengunjung Kami,

iKDN ialah sebuah portal berita. Ia akan dilengkapi dengan elemen audio dan visual (webtv). iKDN berfungsi sebagai pelengkap sumber maklumat untuk rakyat Malaysia khususnya yang berkaitan dengan Kementerian Dalam Negeri.

Di sini para pengunjung boleh mendapat info-info terkini mengenai KDN.

Media dibenarkan untuk memetik sebarang maklumat di dalam portal ini sebagai bahan siaran di media masing-masing dengan syarat dimaklumkan sumber berita itu dipetik dari www.ikdn.org atau www.ikdn.gov.my

Terima kasih

Editorial iKDN
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri

Tahukah Anda
Di bawah Akta Penagih Dadah 6(1)b ibu bapa boleh secara sukarela menghantar anak-anak mereka yang berhadapan dengan masalah najis dadah ke pusat pemulihan (PUSPEN). Dalam tempoh 20 bulan terakhir ini, 444 kes sukarela dilaporkan. Jumlah itu mewakili 6.33% dari jumlah penghuni di PUSPEN seluruh Negara.
Jumlah Pengunjung:

© 2009, Portal Berita KDN, Kementerian Dalam Negeri, Hakcipta Terpelihara

Kami mengalu-alukan input anda untuk dimuatkan didalam portal berita ini.
Sila Hubungi Kami