Kenyataan Akhbar Menteri Dalam Negeri - Lawatan Rasmi ke Arab Saudi
Editor iKDN | 14 Januari 10 11:59am

Kenyataan Akhbar

YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri 

Lawatan Rasmi ke Arab Saudi 

Putrajaya, 14 Januari 2010 

 

Saya ingin memaklumkan bahawa saya sedang dalam rangka lawatan rasmi Y.A.B. Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke Arab Saudi dari semalam, 13 Januari hingga 16 Januari 2010. Lawatan rasmi ke Arab Saudi ini merupakan yang pertama kali semenjak Y.A.B. Dato’ Seri Mohd Najib dilantik sebagai Perdana Menteri pada Mac tahun lalu.

Semasa lawatan rasmi ini, satu Memorandum Persefahaman (MOU) dalam Bidang Keselamatan akan ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi. Cadangan menandatangani MOU ini telah dikemukakan oleh Kerajaan Arab Saudi semasa lawatan kerja Y.B. Menteri Luar Negeri Malaysia, Dato’ Seri Anifah Aman ke negara tersebut pada 26 hingga 28 Disember 2009.

Justeru, saya akan menandatangani MOU tersebut bagi pihak Kerajaan Malaysia. MOU yang akan dimeterai ini merupakan MOU pertama seumpamanya yang pernah dimeterai oleh negara ini dengan negara lain khususnya dalam bidang keselamatan. Pengisian dan kandungan MOU ini telah diperincikan dalam satu mesyuarat yang melibatkan Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Luar Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 8 Januari lalu, dan telah mendapat kelulusan Kabinet.

MOU ini bertujuan memastikan kerjasama dalam bidang keselamatan dapat dijalin secara lebih sistematik dan efisien antara kedua-dua negara. Selain itu, MOU ini juga menyenaraikan skop kerjasama dari aspek keselamatan terutamanya dalam bidang memerangi keganasan, penyeludupan dadah, pemalsuan dokumen, penyeludupan senjata api, jenayah komersil dan pengubahan wang haram serta jenayah siber. Skop kerjasama pula merangkumi kerjasama teknikal, perkongsian maklumat risikan, perkongsian kepakaran, perkongsian hasil kajian saintifik  dan percetakan yang berkaitan, antara kedua-dua negara.

Agensi-agensi yang telah dikenal pasti sebagai agensi pelaksana bagi merealisasikan MOU ini ialah PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan. Bagi memastikan kelancaran MOU ini kelak, agensi-agensi pelaksana ini akan turut menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan dari Arab Saudi.

Saya amat berharap agar MOU ini dapat mengukuh dan memperkemaskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara terutama dalam bidang keselamatan. Saya juga berharap, melalui MOU ini, kedua-dua negara dapat bersama-sama menangani isu-isu keselamatan global sekali gus mewujudkan mekanisme mesyuarat secara tahunan di antara kedua-dua negara yang bertujuan untuk menilai keberkesanan pelaksanaan program yang dilaksanakan.

Sesungguhnya, kerjasama dalam bidang keselamatan antara negara sentiasa diambil berat bagi memastikan usaha memerangi jenayah dapat ditangani secara bersama dan membawa impak yang berkesan kepada lanskap keselamatan sejagat.

=tamat=

Hebahan Untuk Media
Kenyataan Media Menteri

Selamat Datang Kepada Pengunjung Kami,

iKDN ialah sebuah portal berita. Ia akan dilengkapi dengan elemen audio dan visual (webtv). iKDN berfungsi sebagai pelengkap sumber maklumat untuk rakyat Malaysia khususnya yang berkaitan dengan Kementerian Dalam Negeri.

Di sini para pengunjung boleh mendapat info-info terkini mengenai KDN.

Media dibenarkan untuk memetik sebarang maklumat di dalam portal ini sebagai bahan siaran di media masing-masing dengan syarat dimaklumkan sumber berita itu dipetik dari www.ikdn.org atau www.ikdn.gov.my

Terima kasih

Editorial iKDN
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri

Tahukah Anda
Di bawah Akta Penagih Dadah 6(1)b ibu bapa boleh secara sukarela menghantar anak-anak mereka yang berhadapan dengan masalah najis dadah ke pusat pemulihan (PUSPEN). Dalam tempoh 20 bulan terakhir ini, 444 kes sukarela dilaporkan. Jumlah itu mewakili 6.33% dari jumlah penghuni di PUSPEN seluruh Negara.
Jumlah Pengunjung:

© 2009, Portal Berita KDN, Kementerian Dalam Negeri, Hakcipta Terpelihara

Kami mengalu-alukan input anda untuk dimuatkan didalam portal berita ini.
Sila Hubungi Kami