Kenyataan Akhbar Menteri Dalam Negeri - Tindakan Pantas Polis Dalam Kejadian Khianat Surau di Muar
Editor iKDN | 25 Januari 10 12:20am
Kenyataan Akhbar
YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri
Tindakan Pantas Polis Dalam Kejadian Khianat Surau di Muar
Putrajaya, 24 Januari 2010
Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kerana telah bertindak pantas dan berjaya menyelesaikan siasatan berhubung perbuatan khianat ke atas dua buah surau di Muar awal pagi Khamis lalu.
Ternyata daripada hasil siasatan seperti yang diumumkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar semalam, kes berkenaan berpunca daripada perbuatan khianat oleh sekumpulan pihak yang telah bertindak secara bersendiri. Insiden di Muar merupakan tindakan yang tidak bertanggung jawab oleh segelintir remaja dan individu nakal yang ingin menarik perhatian orang ramai.
Tindakan pantas dan cekap pihak polis turut mematikan spekulasi yang sengaja dicetuskan oleh sesetengah pihak dalam tempoh 48 jam selepas kejadian berkenaan. Kita juga dapat melihat bagaimana polis telah bertindak dengan penuh integriti dan tanpa perlu berselindung apabila salah seorang daripada empat lelaki yang ditahan adalah anak kepada anggota dalam pasukan polis sendiri. Mereka telah membuktikan bahawa siasatan dilaksanakan dengan telus tanpa mengira latar belakang atau kedudukan.
Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan PDRM kerana telah bertindak pantas, sekaligus meredakan perasaan rakyat berbilang kaum di negara ini yang mahu agar keamanan dan keselamatan dipertahankan. Sejak dari awal kejadian, saya telah mendapat maklumat yang daripada Tan Sri Ismail Omar bahawa polis mempunyai bukti yang jelas dan mampu menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh terdekat.
Sehubungan itu juga saya ingin meminta polis untuk terus meningkatkan pengawasan bagi menangani perkara seumpama itu dari berulang. Dalam pada itu saya juga tahu bahawa ada persatuan penduduk dan masyarakat setempat yang telah mula mengambil inisiatif sendiri bagi meningkatkan pengawasan di tempat masing-masing. Mereka telah berhubung rapat dengan pihak polis dan mendapat nasihat tentang apakah langkah-langkah dan kaedah yang boleh dilaksanakan bagi membantu meningkatkan keselamatan.
Kejadian yang tercetus di negara kita ini ternyata mempunyai natijah tersendiri kerana ekoran daripada perkembangan itu jugalah masyarakat berbilang kaum atau agama di negara ini semakin sedar bahawa kita tidak boleh hidup secara terpencil dalam kelompok kaum masing-masing, sebaliknya perlu mengambil perhatian, endah dan sentiasa berkomunikasi bagi memahami keadaan antara kita.
Saya juga mahu agar polis mengambil peluang daripada senario semasa untuk melaksanakan lebih banyak pertemuan dengan kumpulan masyarakat setempat bagi membantu mereka untuk mewujudkan suasana dan persekitaran yang lebih baik daripada sebelum ini. Tindakan seperti ini mampu memberi kesan positif terhadap usaha pencegahan jenayah dan sekaligus meningkatkan tahap kepercayaan masyarakat.
END |