Inisiatif Tangani Isu Lambakan Warga Asing dan Memorandum Persefahaman Antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) 
Editor iKDN | 28 Januari 10 10:20am

Kenyataan Akhbar

YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri 

Inisiatif Tangani Isu Lambakan Warga Asing dan Memorandum Persefahaman Antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) 

Putrajaya, 27 Januari 2010 

 

Saya ingin memaklumkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menyampaikan taklimat kepada YAB. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 19 Januari 2010 lalu berhubung isu warga asing. Taklimat tersebut meliputi gambaran keseluruhan kesemua kategori warga asing yang berada di Negara ini dan prosedur kemasukan mereka serta agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam proses kemasukan tersebut. Selain itu, taklimat berkenaan juga membentangkan cadangan gerak kerja KDN dalam menangani isu lambakan warga asing di Negara ini khususnya golongan yang tidak mempunyai status semasa yang sah mengikut undang-undang negara.

 

Dalam sesi taklimat kepada YAB. Timbalan Perdana Menteri, beliau bersetuju dengan cadangan gerak kerja awal yang telah dikemukakan dan telah memberikan arahan agar KDN mengambil tindakan yang tegas dan segera dalam menangani isu lambakan warga asing. Beliau mahu setiap warga asing yang memasuki Negara ini secara sah dalam apa jua kapasiti dipantau sehinggalah mereka meninggalkan Negara ini. Begitu juga, mekanisme pemantauan dan gerakan penguatkuasaan perlu dimantapkan untuk menghalang dan mengusir warga asing yang memasuki Negara ini secara haram.

 

Sebagaimana yang telah dimaklumkan sebelum ini, KDN akan melihat isu ini secara holistik dan tidak hanya tertumpu kepada isu-isu yang sering dibangkitkan berkaitan pekerja asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) semata-mata. Secara keseluruhannya, terdapat 13 kategori warga asing yang terdapat di Malaysia dan sebanyak lebih 20 kementerian dan agensi yang terlibat dalam proses kemasukan dan pemantauan mereka sebagaimana di lampiran I.

 

KDN telah menetapkan usaha menangani isu lambakan warga asing sebagai salah satu fokus utama gerak kerja bagi tahun 2010. Kita telah menubuhkan Jawatankuasa Induk Penambahbaikan Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing (JIPP Warga Asing) yang dipengerusikan oleh saya sendiri. Saya sedang melihat perkara ini secara serius dan terperinci kerana sekiranya tidak dibendung ia akan menjadi satu masalah besar untuk Negara yang akan membawa kesan negatif kepada rakyat kita secara keseluruhannya.

 

Dalam mesyuarat kali pertama JIPP Warga Asing yang telah diadakan pada 12 Januari 2010, kita telah memutuskan untuk memberi keutamaan kepada usaha mengkaji penambahbaikan empat aspek utama melibatkan prosedur kemasukan, mekanisme pemantauan dan penyediaan sistem maklumat, strategi penguatkuasaan serta semakan perundangan. Susulan itu, empat buah jawatankuasa kerja yang telah ditubuhkan sedang meneliti setiap aspek yang telah digariskan dan akan membentangkan isu-isu berbangkit dalam Mesyuarat JIPP Warga Asing Kali Ke-2 yang akan diadakan pada 11 Februari 2010. JIPP Warga Asing akan membentangkan cadangan penambahbaikan dan strategi bagi menangani isu ini untuk pertimbangan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan PATI (JKKPA/PATI) yang akan datang yang dipengerusikan oleh YAB. Timbalan Perdana Menteri.

 

Pada masa yang sama, selain menangani permasalahan semasa berhubung kebanjiran warga asing di Negara ini, kerajaan juga sedang menggerakkan usaha untuk mengurangkan kebergantungan Negara terhadap pekerja asing. Mesyuarat JKKPA/PATI Kali Ke-37 pada 17 Julai 2009 yang lalu telah membincangkan satu Kertas Pertimbangan bertajuk Strategi dan Cadangan Pengurangan Kebergantungan Industri di Malaysia Terhadap Pekerja Asing yang telah disediakan oleh KDN, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri.

 

Dalam mesyuarat tersebut, beberapa pendekatan umum dan pendekatan khusus telah diputuskan dalam mengurangkan pengambilan pekerja asing yang meliputi kesemua sektor iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan. Strategi dan pendekatan yang digariskan akan digerakkan oleh kesemua kementerian dan agensi yang terlibat dalam sektor-sektor berkenaan termasuk KDN yang terlibat secara langsung dalam beberapa bidang di bawah sektor perkhidmatan.

 

Sejajar dengan keputusan tersebut, KDN telah melaksanakan usaha untuk mencari kaedah terbaik untuk menyediakan tenaga kerja tempatan bagi sub sektor pengawal keselamatan di bawah sektor perkhidmatan yang selama ini antara bidang yang banyak bergantung kepada pekerja asing. Pada hari ini kita dapat melihat salah satu hasil daripada inisiatif KDN dan pelbagai pihak berkepentingan (stakeholders) yang telah berusaha sejak beberapa bulan yang lalu untuk merealisasikan hasrat kerajaan untuk kepentingan Negara.

 

Untuk tujuan itu, satu Memorandum Persefahaman (MOU) telah dimeterai pada hari ini antara KDN dan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM). MOU ini bertujuan memastikan kerjasama untuk melaksanakan pengambilan ahli-ahli RELA dan JPAM sebagai pengawal keselamatan dapat dijalin secara lebih sistematik dan efisien khususnya di antara KDN dan PPKKM.

 

MOU yang dimeterai ini merupakan MOU pertama seumpamanya yang pernah dimeterai di antara KDN dan PPKKM. Pengisian dan kandungan mekanisme pengambilan ini telah diperincikan dalam enam siri perbincangan di antara KDN, RELA, JPAM dan PPKKM. PPKKM yang mewakili lebih 400 buah syarikat kawalan keselamatan telah bersetuju menerima garis panduan tersebut.

 

Selain itu, MOU ini akan diperincikan melalui Garis Panduan Pengambilan Ahli RELA dan JPAM sebagai Pengawal Keselamatan yang menyenaraikan lapan bahagian utama seperti syarat dan prosedur pengambilan; gaji dan imbuhan; latihan; pakaian seragam; penggunaan senjata api; tempoh perkhidmatan; kumpulan sasar; serta peranan dan tanggungjawab setiap peringkat (KDN, RELA, JPAM, PPKKM dan syarikat kawalan keselamatan).

 

Dengan adanya MOU ini, ianya dapat menyelesaikan masalah tenaga pekerja dalam sektor ini di samping berkeupayaan untuk mengatasi kebergantungan kepada tenaga pekerja asing. Melalui MOU ini, KDN dan PPKKM dapat bersama-sama meningkatkan profesion perkhidmatan kawalan keselamatan dan di dalam proses untuk penjenamaan semula (rebranding) perkhidmatan kawalan keselamatan. Mesyuarat secara berkala di antara KDN dan PPKKM akan diadakan yang bertujuan untuk menilai keberkesanan pelaksanaan program yang dilaksanakan di samping melaksanakan penambahbaikan.

 

Cadangan untuk mengambil anggota-anggota RELA dan JPAM sebagai pengawal keselamatan ini didasari oleh beberapa sebab. Antaranya ialah bagi menyediakan satu pendekatan yang praktikal kepada syarikat kawalan keselamatan untuk mendapatkan tenaga kerja yang mereka perlukan sebagai alternatif kepada pekerja asing; dan menawarkan satu proses pengambilan yang fleksibel kepada syarikat kawalan keselamatan untuk mendapatkan pekerja mengikut keperluan dan kemampuan agensi masing-masing.

 

Selain itu, pengambilan anggota RELA dan JPAM sebagai pengawal keselamatan ini juga bertujuan mewujudkan satu mekanisme ke arah memartabatkan industri kawalan keselamatan dan menggerakkan usaha ke arah penglibatan orang ramai untuk turut sama dalam mengurangkan kadar jenayah selaras dengan aspirasi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam fasa ketiga melibatkan syarikat-syarikat swasta termasuk syarikat kawalan keselamatan.

 

Sesungguhnya, KDN percaya bahawa pengambilan pengawal keselamatan di kalangan ahli RELA dan JPAM akan menjamin keselamatan orang ramai kerana usaha memerangi jenayah dapat ditangani secara bersama dan membawa impak yang berkesan kepada lanskap keselamatan sejagat. Malah, sememangnya menjadi hasrat Kerajaan untuk melihat warga tempatan mengisi kekosongan jawatan yang dikuasai oleh warga asing di negara ini termasuklah dalam industri kawalan keselamatan. 

 

=tamat=

 

Hebahan Untuk Media
Kenyataan Media Menteri

Selamat Datang Kepada Pengunjung Kami, iKDN ialah sebuah portal berita. Ia akan dilengkapi dengan elemen audio dan visual (webtv). iKDN berfungsi sebagai pelengkap sumber maklumat untuk rakyat Malaysia khususnya yang berkaitan dengan Kementerian Dalam Negeri.

Di sini para pengunjung boleh mendapat info-info terkini mengenai KDN.

Media dibenarkan untuk memetik sebarang maklumat di dalam portal ini sebagai bahan siaran di media masing-masing dengan syarat dimaklumkan sumber berita itu dipetik dari www.ikdn.org atau www.ikdn.gov.my

Terima kasih

Editorial iKDN
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri

Tahukah Anda
Di bawah Akta Penagih Dadah 6(1)b ibu bapa boleh secara sukarela menghantar anak-anak mereka yang berhadapan dengan masalah najis dadah ke pusat pemulihan (PUSPEN). Dalam tempoh 20 bulan terakhir ini, 444 kes sukarela dilaporkan. Jumlah itu mewakili 6.33% dari jumlah penghuni di PUSPEN seluruh Negara.
Jumlah Pengunjung:

© 2009, Portal Berita KDN, Kementerian Dalam Negeri, Hakcipta Terpelihara

Kami mengalu-alukan input anda untuk dimuatkan didalam portal berita ini.
Sila Hubungi Kami