Seludup Manusia vs Dagang Orang 
Editor iKDN | 29 Januari 10 12:21am

Rata-rata peserta yang menghadiri kursus anjuran International Organization for Migration (IOM) berpandangan bahawa kursus ini mendedahkan mereka kepada dimensi baru pengertian antara penyeludupan manusia dan pemerdagangan orang. Sebelum ini mereka kabur dan mempunyai pandangan bahawa human trafficking dan people smuggling adalah dua perkara yang sama cuma berbeza dari sebutannya.

"Saya merasakan pada mulanya ia sama tetapi dari kata-kata pengenalan tadi nyata ia membawa maksud yang berbeza. Rasanya saya tidak sabar lagi untuk terus mengikuti kursus ini," kata Puan Melati bt. Mohd Ariff, 52. Beliau yang merupakan wartawan rencana Bernama memuji langkah KDN menganjurkan kursus sebegini kerana ia memberi manfaat dari segi pengetahuan kepada wartawan seperti beliau yang banyak menulis rencana kemasyarakatan.

Kursus dua hari ini telah berlansung pada 26-27 Januari yang lalu merupakan siri kedua kursus seumpamanya yang dianjurkan oleh IOM dan KDN. Kursus pertama telah diadakan sekitar bulan Disember 2009 yang lalu. Ketika itu ia berjaya menarik lebih dari 25 peserta pelbagai agensi kerajaan.

Untuk siri kedua ini skop peserta diperluaskan yang turut dihadiri oleh peserta dari organisasi separa kerajaan. SUHAKAM, NCWO, PDRM adalah antaranya.

"Pada saya bengkel seumpama ini bagus kerana ia memberi penjelasan dan menghuraikan maksud istilah pemerdagangan orang dengan penyeludupan manusia," kata Jimrey Hillarychukan, 35. Beliau yang berpangkat Chief Inspektor bertugas di Unit Anti Pemerdagangan Manusia, Bukit Aman.

"Kami juga didedahkan siapakah yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam isu ini. Saya pujilah inisiatif yang dibuat untuk mengadakan kursus sebegini." Katanya.

Pada hari pertama para peserta diberi ruang untuk berkenalan antara satu sama lain dan ditanya tahap pengetahuan mereka dengan isitilah pemerdagangan orang. Ceramah kursus juga banyak mendedahkan mereka dengan maklumat yang betul melalui sesi soal jawab yang menjadi pendekatan utama dalam kursus ini.

Pemerdagangan manusia kini menjadi masalah global dan tidak terkecuali Malaysia. Pemerdagangan manusia ialah satu aktiviti haram yang mengekploitasi seorang manusia yang lain dan melibatkan sejumlah wang berpindah tangan. Individu berkenaan akan menjadi 'manusia belaan' di mana ia akan digunakan untuk kerahan tenaga atau pekerja seks tanpa kerelaan beliau.

Sementara penyeludupan manusia pula ialah manusia itu menggunakan, mengupah, memberi atau menerima bayaran dengan harapan beliau dibawa masuk ke negara destinasi idaman mereka. Di sini tidak berlaku eksploitasi. Sebaliknya jika mereka berjaya ke negara destinasi yang berkenaan mereka bebas untuk menentukan 'kehidupan baru' mereka selanjutnya.

--team berita ikdn.

Hebahan Untuk Media
Kenyataan Media Menteri

Selamat Datang Kepada Pengunjung Kami, iKDN ialah sebuah portal berita. Ia akan dilengkapi dengan elemen audio dan visual (webtv). iKDN berfungsi sebagai pelengkap sumber maklumat untuk rakyat Malaysia khususnya yang berkaitan dengan Kementerian Dalam Negeri.

Di sini para pengunjung boleh mendapat info-info terkini mengenai KDN.

Media dibenarkan untuk memetik sebarang maklumat di dalam portal ini sebagai bahan siaran di media masing-masing dengan syarat dimaklumkan sumber berita itu dipetik dari www.ikdn.org atau www.ikdn.gov.my

Terima kasih

Editorial iKDN
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri

Tahukah Anda
Di bawah Akta Penagih Dadah 6(1)b ibu bapa boleh secara sukarela menghantar anak-anak mereka yang berhadapan dengan masalah najis dadah ke pusat pemulihan (PUSPEN). Dalam tempoh 20 bulan terakhir ini, 444 kes sukarela dilaporkan. Jumlah itu mewakili 6.33% dari jumlah penghuni di PUSPEN seluruh Negara.
Jumlah Pengunjung:

© 2009, Portal Berita KDN, Kementerian Dalam Negeri, Hakcipta Terpelihara

Kami mengalu-alukan input anda untuk dimuatkan didalam portal berita ini.
Sila Hubungi Kami