KDN Sentiasa Bersedia Menambah Baik
Editor iKDN | 4 Februari 10 11:57am
Pasca Kabinet KDN yang berlangsung semalam 3 hb. Februari 2010 membincangkan secara mendalam mengenai komitmen kementerian ini ke arah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan dengan tegas mengingatkan barisan pengurusan tertinggi KDN agar sentiasa memikirkan nilai tambah kepada perkhidmatan yang diberikan di samping bersedia untuk berubah dan menerima perubahan.
Beliau yang menemui kumpulan pemberita selepas itu memaklumkan bahawa dalam konteks mencapai gagasan 1 Malaysia yang mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian, soal transformasi kerajaan dan menuju Rancangan Malaysia ke- 10 (RMK10), KDN akan memberi fokusnya kepada sasaran-sasaran KPI yang ditetapkan.

"Misalnya untuk tahun 2009 KDN telah membuktikan bahawa kita telah mencapai KPI yang kita sasarkan iaitu memproses sejumlah permohonan kewarganegaraan, permohonan permit masuk dan permohonan pendaftaran sijil kelahiran. Dalam konteks KDN banyak lagi KPI yang akan datang," katanya.
Dato' Seri Hisham menambah dalam pada melihat pencapaian yang telah berlalu adalah penting untuk menyemak produk-produk sedia ada dan cara bagaimana menambahbaik kualiti perkhidmatan kepada rakyat. Beliau merujuk kepada tempoh masa pengeluaran pasport dan dokumen perjalanan Malaysia yang dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
"Jika sebelum ini pengeluaran pasport antarabangsa kita memerlukan masa berbulan-bulan untuk diproses tetapi kini paling lama masa yang diambil ialah dua jam sahaja. Masa proses yang semakin cepat dan singkat itu tidaklah pula bermakna aspek dan ciri-ciri keselamatan diabaikan oleh kita," katanya.
Beliau yang merujuk kepada pelancaran pasport versi ICAO yang dilancarkan oleh beliau pada 2 Februari yang lalu menambah bahawa pengeluaran pasport itu yang menepati spesifikasi antarabangsa dan menekankan ciri-ciri keselamatan yang lebih ketat jelas menggambarkan pasport tidak ada pengabaian aspek keselamatan sedia ada.
"Kreatif dan inovatif adalah pendekatan kita (KDN). Berbalik kepada soal pasport tadi, kita telah mengeluarkan e-passport yang mungkin jika kita tidak laksanakan sekarang dan kita menunggu maka kita akan menjadi negara yang ditinggalkan," katanya.
--team berita ikdn
|