Temubual Eksklusif Bersama David Teoh Editor iKDN | 11 Februari 10 5:41am
Dunia perfileman membuatkan pandangan hidupnya terbuka luas. Baginya 1Malaysia jangan dilihat dengan kanta yang sempit. Melalui temubual penuh bersama David Teoh, penerbit dan pengusaha perfileman.
S: Sejujurnya adakah anda memahami maksud gagasan 1 Malaysia?
DT: Saya ada versi saya sendiri. Tidak seperti saya tengok dalam iklan-iklan di televisyen kita hari ini. Ada orang kata 1 Malaysia mesti ada 3 bangsa baru 1 Malaysia, Melayu, Cina dan India. Saya rasa apa yang ada di televisyen itu sudah ‘over do’. Ada orang kata, jika satu haluan, boleh jadi 1 Malaysia. 1 Malaysia ini membawa versi yang luas. Setiap orang pasti ada anggapan berbeza. Tapi bagi saya...sejak Malaysia disatukan, itulah 1 Malaysia. Jika ikut versi sekarang, tiga kaum, menjadi satu, barulah 1 Malaysia. Itu stereotype. Jika ikut (berdasarkan) Perlembagaan Malaysia, konsep itu telah lama wujud. Tidak kira kaum. Samada Orang Asli, Melayu, Cina, India atau Kadazan. 1 Malaysia mewakili kita sebagai rakyat Malaysia. Tidak kira latar belakang. Kita tiada isu berkenaan kaum. Dan mungkin ada orang akan marah saya kalau saya katakan kita salah dalam membuat promosi. Sepatutnya, yang dipromosikan ialah; “We Are Proud To Be Malaysian! Everybody is a Malaysian” . Apa lagi yang nak diceritakan? Satu negara, 1 Malaysia. Perkataan Malaysia hanya ada satu sahaja, tidak ada lain lagi.
S: Maksud anda?
DT: Pada saya, rakyat keliru. Ada yang kata jika 1 Malaysia maka perlulah samarata. Jadi mereka mempertikaikan mengapa orang masih ada hak istimewa bumiputera? Mengapa masih perlu mengisi butiran latar belakang kaum? Ini feedback yang saya terima on the ground. Jadi, wujud kekeliruan amat nyata. Bagi saya, kalaupun tiada promosi, 1 Malaysia memang konsep sedia ada pada Rukun Negara kita. Iaitu, kita tetap hormat pada raja dan agama. Dan kita taat setia pada negara. Negara maksudnya Malaysia. Kita 1 Malaysia, jadi tidak kisah apapun. Bila kita pergi ke tahap antarabangsa, tiap kali kita menang pingat, tidak pernah disebut bangsa dan keturunan. Tetapi, sebaliknya, kita rakyat Malaysia, mewakili Malaysia.
S: Sebagai seorang usahawan, saya yakin anda pernah ke luar negara, jadi apa perbezaan yang anda lihat antara Malaysia dengan negara luar dari segi perbezaan kaum?
DT: Saya mengelilingi seluruh dunia belum habis lagi. Dan selalu kalau saya keluar bukan sebagai pelancong. Selalunya atas urusan perniagaan. Kalau di Asia Tenggara, memang saya aktif keluar masuk. Bahkan di Indonesia, separuh daripada keluarga saya juga di sana. Kita jangan cerita tentang Barat, sebab memang wujub perbezaan. Kalau di negara China, sebenarnya ada banyak kaum, tetapi China disatukan. Satu bahasa. Begitu juga Indonesia dan India. Jadi, ini membuktikan bahawa jika rakyat telah dididik sejak kecil tentang persamaan dan sikap satu negara, tidak akan ada masalah. Barulah wujud 1 Indonesia dan 1 China. Apa bezanya di Malaysia? Mereka memang satu. Semua negara memang satu. Perkara sebegini tidak perlu promosi. Sepatutnya kita mempergiatkan promosi “Proud to be Malaysian. Sepatutnya tindakan mengatasi promosi. Sebab promosi sahaja tidak akan berkesan tanpa hasilnya. Promosi hanya atas kertas tetapi hasilnya ialah di mana perbuatan itu. Tindakan lebih penting.
S: Sebagai pengkarya filem adakah anda akan mengggunakan medium ini untuk memperkemaskan lagi 1 Malaysia?
DT: Jika anda lihat filem saya, memang saya dari hari pertama jadi penerbit, telah mengamalkan konsep dan gagasan 1 Malaysia telah berlaku. Cuma, saya tidak disebut sebagai penerbit 1 Malaysia. Pertama, pengarah adalah dari kaum Cina muslim, penerbit adalah orang Cina, doa pakai ustaz, krew ada yang Melayu, India...semua ada. Bahkan mungkin juga ada dari Sabah dan Sarawak. Tidak tahulah! Sebabnya, saya tidak pernah menyemak rekod latar belakang mereka. Bagi saya, kita semua sama. Saya cuma fikir, we’re a local production house. Saya tidak pernah fikir bangsa. Jika tidak mengapa sebagai orang Cina saya menerbitkan filem berbahasa Melayu? Begitu juga jika saya tidak setuju bahasa Malaysia dipanggil bahasa Melayu kerana keduanya adalah perkara yang sama. Apa bezanya bahasa Melayu dan Bahasa Malaysia?Keduanya samakan? Saya sudah menerbitkan lebih dari 40 buah filem. 32 telah ditayangkan. Melalui filem saya…saya telah menyatukan negara ini. Tidak ada filem khas untuk satu bangsa sahaja. Contoh filem seram terbitan saya, semua bangsa datang menonton. Filem aksi seperti Remp-it, kaum Cina dan India pun tengok. Walaupun tidak banyak melibatkan bangsa masing-masing. Mereka datang menonton kerana jalan cerita. Penonton tidak mempersoalkan filem itu berbangsa apa. Sejak kita jadi Malaysia, 1 Malaysia memang sudah terbentuk.
S: Penerbitan anda banyak memfokuskan kepada tema-tema cinta, masalah sosial dan korporat selalu digunakan. Bolehkan tema 1 Malaysia dijadikan tema utama di penerbitan akan datang?
DT: Harapan saya di masa depan ialah membawa filem Malaysia hingga ke peringkat dunia. Dan saya tidak akan menggunakan filem berasaskan bangsa atau kaum. Maksud saya, tema 1 Malaysia bukan purposely menggabungkan kaum 1 Malaysia sebagai jalan cerita. Adalah lebih baik jika, kita lihat apa yang peminat Malaysia mahu. Saya tidak kisah dia bangsa apa. Sebab itu saya kata, saya sudah berjaya menarik minat penonton 1 Malaysia. Bagi saya, 1 Malaysia tidak perlu steroetaip tiga bangsa. Entertainment menyatukan semua, mengatasi segala konflik, agama dan budaya. Kalau seseorang sukakan satu-satu filem itu…mereka akan datang ke panggung. Tidak kira apa dialek atau bangsa apa. Contohnya filem Ju-on, dari Jepun. Walaupun budaya berbeza, tetapi kita (rakyat Malaysia) tetap menonton. Jadi, Jepun telah menyatukan dunia. Begitu juga dengan filem Hollywood.
S: Jadi apakah cabaran anda sebagai pengkarya dari Malaysia?
DT: Cabaran saya ialah, bagaimana nak membawa filem Malaysia ke peringkat antarabangsa. Bukan dengan konsep untuk menyatukan Malaysia. Itu sudah ketinggalan zaman. Kita memang sudah bersatu, jadi apa lagi yang nak disatukan? Kalau anda berbangsa Cina, tetapi tidak boleh perform atau tidak mengira bangsa apa, tetap akan marah. Saya lihat, orang muda (youngsters) kini, tidak kira bangsa sebenarnya sudah boleh menerima antara satu sama lain. Cuma orang politik ni kadang-kadang sudah ketinggalan zaman dalam perkara ini.
S: Bagaimana anda rasa diri anda di kalangan pelbagai bangsa?
DT: Saya memang ok. Saya terlampau ok. Sebab saya memang mempunyai latar belakang 1 Malaysia. Dari kecil saya dibesarkan dengan cara hidup Malaysia. Ada pengalaman bersama orang Melayu, orang Cina dan orang India. Karya saya bermula di kalangan bangsa Melayu. Ayah saya juga memang biasa dengan budaya Malaysia…budaya Melayu khususnya. Ayah saya kini berusia lebih 70 tahun. Sampai kini, setiap kali Hari Raya (Tahun Baru Cina), rumah ayah saya akan penuh dengan rakan-rakan yang tidak putus-putus berkunjung. Bahkan ada yang bawa anak dan cucu bersama. Hubungan antara ayah saya dan rakan-rakannya tetap baik hingga kini. Tanpa mengira bangsa. Walaupun telah berpuluh tahun bersahabat bahkan saya turut merasakan kemeriahan dan keakraban hubungan ini. Saya kena bangun pagi untuk melayan tetamu yang datang. Apa yang ingin saya beritahu ialah, rakyat Malaysia sudah lama bersatu. Kalau dikatakan Malaysia diwujudkan sejak tahun 1963, maka 1 Malaysia telah wujud sejak saat itu lagi. Ayah saya ada kawan pada masa itu, dan masih berkawan hingga kini. Jika dia (kawan ayah) datang melawat semasa Tahun Baru Cina, kami pula melawat semasa Hari Raya. Tidak pernah miss setiap tahun.
S: Jika sekiranya diberi pilihan kembali ke zaman lampau, atau dilahirkan semula…anda mahu dilahirkan di negara mana?
DT: Saya tidak pernah terfikir tempat lain selain dari Malaysia. Saya tidak pernah terfikir untuk berpijak dan berpayung di negara lain selain Malaysia. Bahkan saya tidak pernah terfikir langsung. Sebabnya…I’m proud to be Malaysian.
Selamat Datang Kepada Pengunjung Kami, iKDN ialah sebuah portal berita. Ia akan dilengkapi dengan elemen audio dan visual (webtv). iKDN berfungsi sebagai pelengkap sumber maklumat untuk rakyat Malaysia khususnya yang berkaitan dengan Kementerian Dalam Negeri.
Di sini para pengunjung boleh mendapat info-info terkini mengenai KDN.
Media dibenarkan untuk memetik sebarang maklumat di dalam portal ini sebagai bahan siaran di media masing-masing dengan syarat dimaklumkan sumber berita itu dipetik dari www.ikdn.org atau www.ikdn.gov.my
Terima kasih
Editorial iKDN
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri
Tahukah Anda Di bawah Akta Penagih Dadah 6(1)b ibu bapa boleh secara sukarela menghantar anak-anak mereka yang berhadapan dengan masalah najis dadah ke pusat pemulihan (PUSPEN). Dalam tempoh 20 bulan terakhir ini, 444 kes sukarela dilaporkan. Jumlah itu mewakili 6.33% dari jumlah penghuni di PUSPEN seluruh Negara.