Kita Bukan Anti Pendatang Asing - KSU KDN
Editor iKDN | 21 Februari 10 10:26am
Ketua Setiausaha KDN Dato' Sri Mahmood b. Adam menegaskan kerajaan mempunyai alasan yang kuat untuk bertegas dengan pendatang asing di negara ini. Telah terbukti kadar peningkatan jenayah di negara ini mempunyai kaitan dengan kedatangan warga luar ke negara ini. Bagaimanapun kenyataan ini tidak merujuk kepada pendatang asing yang memasuki negara ini secara sah tetapi ditujukan kepada pendatang asing yang memasuki dan berada di negara ini secara haram.
"Salah satu punca lambakan warga asing di negara ini ialah penyalahgunaan visa melancong. Kononnya mereka datang untuk melancong tetapi berakhir dengan berniaga secara kecil-kecilan di pasar. Mereka menyalahgunakan pas lawatan itu. Bukan tidak boleh bekerja di Malaysia. Memang kita ada memberi kebenaran untuk warga asing bekerja di negara ini tetapi di dalam kumpulan profesional yang mempunyai kemahiran, kelulusan dan bakat tertentu. Malaysia perlukan kemahiran sebegini untuk melonjakkan lagi pembangunan negara ini," katanya.

Menurut beliau lagi, beberapa kawasan hotspots yang menjadi pusat pertemuan warga asing juga sedang dipantau oleh pihak keselamatan. Namun peranan dan sikap tanggungjawab orang ramai untuk sama-sama bekerjasama dalam pembanterasan jenayah adalah penyelesaian terbaik.
"Ingatlah nombor 999. Amat mudah untuk menjadi warga negara yang bertanggungjawab dengan menyalur maklumat ke nombor ini," katanya.
Laporan Khas Berita Harian akan tampil dengan sesi penuh temubual bersama KSU KDN ini berkait isu lambakan warga asing di negara ini akan disiarkan tidak lama lagi.
--team berita ikdn
|