Tidak Perlu Penjara Baru - MDN
Editor iKDN | 23 Februari 10 8:39am
Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan projek-projek di bawah Kementerian Dalam Negeri yang tertangguh akan segera dilaksanakan sebelum Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dibentangkan. Beliau berkata demikian di sidang akhbar sejurus selesai meninjau dan melawat penjara baru Penjara Sungai Udang pada 18 Februari yang lalu.
"Menjadi keutamaan saya untuk memantau dan memastikan projek-projek yang belum selesai, diselesaikan. Perbincangan akan dibuat dengan Jabatan Penjara untuk melihat apa yang boleh kita buat pada RMK10 nanti, memang keperluan pihak Penjara akan diambil kira, bahkan saya sendiri akan turun ke bawah untuk memantau dan menjalinkan hubungan kerjasama dengan Kerajaan Negeri," katanya.

Menteri Dalam Negeri itu melahirkan rasa terharu beliau kerana Ketua Menteri Melaka Datuk Wira Ali Rustam sanggup bersama-sama pada hari lawatan kerja beliau ini. Lebih membanggakan lagi komitmen pihak kontraktor kerana berjaya menyiapkan projek pembinaan penjara ini mengikut jadual.
"Sesungguhnya kerjasama erat dengan kerajaan negeri memudahkan segala kerja. Kompleks Penjara Sungai Udang ini dah hampir siap. Kosnya sekitar RM305 juta dan didirikan ditapak seluas 120 hektar. Ini jelas menunjukkan dengan kerjasama erat antara KDN, Kerajaan Negeri dan pihak kontraktor, saya rasa tidak ada sebab untuk kita tidak selesaikan projek ini secepat mungkin," katanya.
Menurut beliau lagi dari aspek pembangunan dan kemajuan projek Jabatan Penjara, saya difahamkan hanya satu projek sahaja tidak mengikut jadual iaitu Penjara di Sandakan dan masalah yang dihadapi di sana ialah masalah kontraktor. Dalam konteks peruntukkan terhad untuk RMK10, perkara begini tidak akan dibenarkan berulang dan projek itu diharapkan dapat disiapkan segera.
"Kontraktor yang mempunyai rekod tidak baik, saya akan bincang dengan pihak Pengurusan Tertinggi Kementerian supaya jangan lagi mereka ini diberi ruang...jika tidak ia akan menjejaskan perancangan. Kita seharusnya bekerja sebagai satu pasukan kerana apa juga masalah KDN tidak boleh dipersalahkan begitu sahaja. Ia membabitkan banyak pihak," katanya.
Tambah Hishammuddin beliau dan kementerian akan memberi empat tumpuan utama kepada Jabatan Penjara iaitu untuk melihat kepada keperluan fizikal Jabatan Penjara, menaiktaraf penjara sedia ada dan keperluan kakitangan. Selain itu dari segi keselesaan hidup, kebajikan dan perumahan akan menjadi keutamaan yang cukup penting dari segi moral dan semangat.
"Ketiga, program-program sistem pemulihan di mana banduan-banduan diberikan latihan dan pemulihan supaya apabila mereka keluar nanti dapat duduk dan diserap dalam masyarakat. Kalau tidak percayalah mereka akan kembali dalam penjara. Itu akan mewujudkan satu masalah lagi pada masa akan datang.," katanya.
Beliau juga menyentuh mengenai isu kesesakan dalam penjara. Dari jumlah 36 040 banduan, 10 800 adalah warga asing. Salah satu cara untuk mengatasi kesesakan dalam penjara ini ialah memberi pertimbangan kepada kes-kes jenayah ringan seperti kes ragut, mencuri dan sebagainya tidak dikenakan hukuman penjara.
"Kita tengok dan buat kajian, mungkin aspek khidmat masyarakat, khidmat bakti bekerja dalam usaha sama dalam bengkel-bengkel yang disediakan. Saya tengok tadi ada bengkel-bengkel jahitan, bengkel motor besi dan sebagainya, dengan kemahiran yang ada itu kita boleh serapkan di luar sana. Saya bimbang masuk dalam penjara kerana kes ringan, keluar nanti berkawan dengan banduan lain menjadi lebih serius lagi," katanya.
--team berita ikdn
|