Makmal Kajian Berkaitan Pekerja Asing Akan Diwujudkan
Editor iKDN | 24 Februari 10 5:03am
Kehadiran pekerja asing ke negara ini mencatatkan penurunan sebanyak 470 ribu orang pada tahun 2009. Angka itu diperolehi dari rekod Jabatan Imigresen yang pada tahun tahun 2008 mencatatkan kemasukan seramai 2.06 juta orang warga asing. Sedangkan pada tahun 2009 hanya 1.59 juta dicatatkan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penurunan ini berpunca dari tindakan majikan yang mengurangkan pengambilan pekerja asing akibat dari situasi ekonomi semasa dunia.
“Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai pekerja asing yang bersidang pada hari ini bersetuju agar makmal berhubung pengurusan pekerja asing diwujudkan. Hari ini kami berbincang situasi semasa berkaitan perkara ini termasuklah yang datang secara sah atau tidak sah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu pada 22 Februari yang lalu.
Beliau menambah makmal itu nanti akan turut mengambil kira dasar, prosedur, peranan outsourcing/agen atau syarikat-syarikat yang mengambil pekerja asing. Bahkan undang-undang sedia ada akan diteliti.
“Kita mahu memastikan pengambilan pekerja asing ke negara kita ini adalah berdasarkan keperluan di dalam sektor-sektor ekonomi seperti sektor perubatan, perkhidmatan, pembinaan, perladangan dan sebagainya. Pengambilan seterusnya akan melalui peraturan yang lebih ketat . Ini bermakna di bawah jawatankuasa yang ada, permohonan akan diteliti sama ada permohonan untuk menambah pekerja-pekerja itu wajar diluluskan atau tidak dan untuk tujuan apa,” katanya.
Makmal yang dicadangkan ini juga akan melihat bagaimana kepulangan pekerja asing ke negara mereka dilaksanakan selepas tamat permit bekerja.
“Saya dimaklumkan sekarang ini amat sukar untuk kita memantau pergerakan keluar mereka dalam tempoh waktu yang ditetapkan. Makmal ini kita harap akan mengupas segala perkara, bermakna satu total review tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan kemasukan dan pengambilan pekerja asing ini kita lakukan,” katanya.
--team berita ikdn |