Kenyataan Akhbar Menteri Dalam Negeri - Mesyuarat Kemajuan Inisiatif Program Bandar Selamat: Kamera Litar Tertutup
Editor iKDN | 5 Mac 10 5:33pm
Kenyataan Akhbar
YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri
Mesyuarat Kemajuan Inisiatif Program Bandar Selamat:
Kamera Litar Tertutup
Putrajaya, 05 Mac 2010
Mesyuarat Kemajuan Inisiatif Program Bandar Selamat: Kamera Litar Tertutup yang diadakan pada hari ini merupakan mesyuarat antara Menteri yang pertama seumpamanya. Mesyuarat ini diadakan bertujuan menyelaras penggunaan serta pengaplikasian kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjayakan inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berkenaan agenda mengurangkan kadar jenayah.
Inisiatif penyelarasan dan pemasangan CCTV merupakan salah satu daripada 55 inisiatif yang telah dikenal pasti perlu dilaksanakan di bawah Program Transformasi Kerajaan (PTK). Setakat ini, sebuah Jawatankuasa Kerja telah ditubuhkan bagi menyelaras dan menggembleng infrastruktur sedia ada serta bagi tujuan pencegahan dan pemantauan keselamatan.
Mesyuarat Jawatankuasa Kerja di bawah kelolaan bahagian NKRA KDN telah pun bermesyuarat dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pihak DBKL untuk menyelaraskan penggunaan CCTV sedia ada. Setakat ini, sebanyak 5 mesyuarat dan lawatan tapak ke PBT di 4 negeri hotspot telah diadakan.
Untuk makluman, jumlah sedia ada CCTV yang telah beroperasi di bawah KPKT dan DBKL di seluruh negara adalah sebanyak 650 (568 di bawah KPKT dan 82 di bawah DBKL). Daripada jumlah tersebut, sebanyak 382 terletak di kawasan panas. Mesyuarat hari ini juga telah dimaklumkan bahawa di bawah Lembaga Lebuh Raya Malaysia, terdapat sebanyak 260 CCTV yang telah beroperasi di lebuh raya dan jalanraya tertentu. Selain itu mesyuarat juga dimaklumkan bahawa PLUS mempunyai 800 CCTV yang sedang beroperasi. Mengambil kira jumlah yang sedia ada di bawah tiga Kementerian ini, mesyuarat telah memutuskan agar kesemua 1,710 CCTV ini diselaraskan dan digunakan untuk tujuan membanteras jenayah.
Sementara itu, mesyuarat juga telah membincangkan keperluan menyelaras dari segi perancangan pemasangan CCTV baru. Mesyuarat telah mengambil maklum bahawa jumlah CCTV baru yang dirancang di bawah kementerian-kementerian terbabit adalah seperti berikut – 496 CCTV baru dicadang dipasang oleh pihak KPKT; LLM bercadang memasang sebanyak 98 CCTV baru; 831 kamera penguatkuasaan di bawah program Automated Enforcement System (AES) di bawah kelolaan Kementerian Pengangkutan serta 100 CCTV baru di bawah DBKL. Jumlah keseluruhan yang dirancang dan dalam tindakan adalah sebanyak 1,525. Daripada jumlah yang sedang dilaksanakan ini, sebanyak 388 adalah khusus untuk 4 negeri hotspot melibatkan 14 PBT dan pihak berkuasa tempatan. Mengambil kira jumlah ini, serta jumlah CCTV yang sedia ada, jumlah besar CCTV yang akan digunakan untuk NKRA jenayah adalah sebanyak 3,235.
Sebelum ini, pemasangan CCTV ini adalah untuk pelbagai tujuan. Ada yang berfungsi untuk menyurai trafik, menjaga keselamatan premis dan sebagainya. Justeru, dalam mesyuarat kali ini kita berusaha selaraskan supaya pemasangan CCTV ini kelak akan dapat membantu kita mengurangkan kadar jenayah jalanan sehingga 20 peratus menjelang hujung tahun ini seperti mana disasarkan di bawah NKRA.
Selain dimaklumkan mengenai pemasangan dan penyelarasan CCTV, mesyuarat pada hari ini juga menerima taklimat daripada KPKT mengenai satu lagi inisiatif NKRA iaitu pelaksanaan ‘bandar selamat’. Inisiatif bandar selamat ini merupakan salah satu daripada 55 inisiatif yang dikenal pasti di bawah GTP, dan menggariskan sebanyak 15 fokus dan langkah yang mampu dilaksanakan PBT dalam usaha membendung jenayah. Di antara inisiatif yang dicadangkan termasuk mengasingkan laluan pejalan kaki dengan jalan raya melalui pembinaan penghadang khas dan juga pemasangan cermin keselamatan (safety mirror) untuk mengurangkan kes-kes ragut. Mesyuarat juga dimaklumkan fasa pertama roll out penekanan akan diberi kepada 12 PBT yang terletak di kawasan hotspot.
Mesyuarat juga diberi taklimat mengenai inisiatif pihak swasta seperti Syarikat Sime Darby Holdings Bhd. tentang usaha mereka menyediakan secara perkongsian pintar elemen-elemen tambahan dalam memastikan kawasan perumahan mereka selamat. Sebagai contoh, di kawasan perumahan Ara Damansara, pihak Sime Darby telah menaja sebanyak 22 unit CCTV dan 3 unit kereta peronda bagi tujuan membanteras jenayah. Sime Darby juga telah menanggung perbelanjaan untuk mengintegrasikan inisiatif ini dengan IPD Petaling Jaya
Dalam pada itu, saya juga ingin memaklumkan beberapa persetujuan yang telah dicapai dalam mesyuarat ini. Pertamanya, mesyuarat telah memutuskan agar pengintegrasian dibuat dengan pihak PDRM berhubung pemasangan dan penyelarasan CCTV ini di mana pihak PDRM dibenarkan mengakses CCTV tersebut. Kedua, CCTV ini akan diintegrasikan dengan bilik operasi Ibu Pejabat Bukit Aman, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Daerah (IPD) balai-balai polis di seluruh negara serta Bilik Gerakan NKRA di KDN.
Ketiga, mesyuarat juga memutuskan agar penyelarasan dibuat bagi memastikan pemasangan CCTV baru adalah bertumpu di kawasan panas atau hot spots yang kerap berlaku jenayah seperti yang telah dikenal pasti oleh PDRM. Keempat, penubuhan sistem ‘tindak cepat’ di setiap IPK, IPD dan balai bagi memantau dan mengambil tindakan segera terhadap sebarang kejadian mencurigakan yang disaksikan di CCTV. Kelima, memastikan pemasangan CCTV di sesuatu kawasan disedari oleh orang ramai. Keenam, menyediakan lakaran kedudukan dan lokasi setiap CCTV yang telah siap dipasang.
Ketujuh, mesyuarat juga bersetuju agar fasa seterusnya pemasangan CCTV akan melibatkan penyertaan pihak swasta dan pihak berkepentingan.
=tamat= |