Balai Polis Bergerak di Hotspot
Editor iKDN | 6 Mac 10 1:00am

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang giat menambah bilangan balai polis bergerak dan motosikal di kawasan-kawasan panas (hotspot) sejajar dengan usaha menurunkan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus pada penghujung tahun ini. Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tindakan itu sebagai selaras dengan sasaran di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berkenaan jenayah.

"Sehingga kini, sebanyak 32 buah balai polis bergerak telah pun ditempatkan di 50 kawasan panas yang telah dikenalpasti khususnya di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor. Manakala 8 buah balai polis bergerak lagi baru sahaja diterima, selain 82 buah lagi akan diterima untuk kegunaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Jun tahun ini. Dalam pada itu, sebanyak 393 buah motosikal telahpun diterima dan digunakan oleh PDRM ketika ini. Pada masa sama, pihak PDRM juga telah memohon 404 motosikal tambahan untuk digunakan di kawasan-kawasan panas ini," katanya.

Menurut beliau lagi penempatan balai polis bergerak dan penggunaan motosikal ini adalah bagi menunjukkan peningkatan kehadiran polis (omnipresence) di hotspot. Selain itu, balai polis bergerak ini juga berfungsi menerima laporan dan aduan orang ramai.

"Ia salah satu langkah kita untuk mendekati rakyat (engagement with public), serta memberi nasihat dan penerangan berkaitan pencegahan jenayah. Sementara penggunaan motosikal pula adalah bagi tujuan membuat rondaan yang lebih berkesan di kawasan-kawasan panas. Ini kerana rondaan melalui motosikal adalah lebih pantas, lebih awas dan lebih prihatin dengan persekitaran," katanya.

Dato' Seri Hisham berkata beliau sedar usaha menambah kehadiran polis di kawasan panas sedang diperhebatkan tetapi pada masa yang sama anggota-anggota polis berkenaan perlu dilengkapkan dengan kemudahan dan kelengkapan yang mencukupi.

" Dengan kata lain, usaha ini perlulah dilaksanakan secara bersepadu. Justeru, penyediaan balai polis bergerak dan penggunaan motosikal ini adalah salah satu pendekatan penting bagi menyokong usaha tersebut," katanya.

Beliau menambah arahan telah dikeluarkan oleh beliau agar anggota-anggota polis ditugaskan bersama ahli Angkatan Relawan Rakyat (RELA) dan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang telah tamat latihan dan dilantik sebagai Sukarelawan Simpanan Polis (SSP) di kawasan-kawasan panas ini termasuk di kawasan perumahan dan pusat bandar.

"Buat masa ini seramai 3,160 ahli Angkatan Relawan Rakyat (RELA) dan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang telah tamat latihan sebagai SSP, telah dilibatkan bersama-sama anggota dan pegawai PDRM dalam program ini. Jumlah ini melibatkan 803 anggota RELA dan JPAM di Kuala Lumpur, 885 di Selangor, 947 di Johor dan 525 di Pulau Pinang," katanya.

Menurut beliau lagi kumpulan ini telah digerakkan untuk bekerjasama dengan melakukan rondaan bersama-sama keseluruhan 33,623 orang pegawai dan anggota polis dari negeri yang terlibat. Selain itu terdapat seramai 1,100 orang pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM yang turut sama dilibatkan sejak inisiatif mengurangkan jenayah ini diperkenalkan tahun lalu. Jumlah keseluruhan polis, RELA dan JPAM yang terlibat sehungga sekaranng di semua 50 kawasan panas ialah seramai 37,883 orang.

Dato' Seri Hishammuddin menemui media selepas Majlis Penyerahan Balai Polis Bergerak di Klang pada 4 Mac yang lalu kepada Ketua Polis Negeri empat buah negeri yang terlibat dengan hotspot iaitu Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur. Hadir sama ialah Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan pengurusan tertinggi KDN.

--team berita ikdn

 

Hebahan Untuk Media
Kenyataan Media Menteri

Selamat Datang Kepada Pengunjung Kami, iKDN ialah sebuah portal berita. Ia akan dilengkapi dengan elemen audio dan visual (webtv). iKDN berfungsi sebagai pelengkap sumber maklumat untuk rakyat Malaysia khususnya yang berkaitan dengan Kementerian Dalam Negeri.

Di sini para pengunjung boleh mendapat info-info terkini mengenai KDN.

Media dibenarkan untuk memetik sebarang maklumat di dalam portal ini sebagai bahan siaran di media masing-masing dengan syarat dimaklumkan sumber berita itu dipetik dari www.ikdn.org atau www.ikdn.gov.my

Terima kasih

Editorial iKDN
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri

Tahukah Anda
Di bawah Akta Penagih Dadah 6(1)b ibu bapa boleh secara sukarela menghantar anak-anak mereka yang berhadapan dengan masalah najis dadah ke pusat pemulihan (PUSPEN). Dalam tempoh 20 bulan terakhir ini, 444 kes sukarela dilaporkan. Jumlah itu mewakili 6.33% dari jumlah penghuni di PUSPEN seluruh Negara.
Jumlah Pengunjung:

© 2009, Portal Berita KDN, Kementerian Dalam Negeri, Hakcipta Terpelihara

Kami mengalu-alukan input anda untuk dimuatkan didalam portal berita ini.
Sila Hubungi Kami